Posisi kepala bayi saat tidur adalah antara perkara paling penting untuk ibu ayah perhatikan. Sebelum menjadi ibu bapa, tentu kita sudah banyak melakukan pembacaan tentang keselamatan bayi dan pasti anda juga dapat mengetahui bahawa bayi mudah mengalami SIDS. Oleh itu, apabila si manja mula menukar ke posisi meniarap saat tidur, anda mungkin akan risau kerana khuatir jika ianya adalah selamat.
Jadi, kami akan menjawab persoalan anda tentang si manja yang menerbalikkan diri saat tidur; adakah ia selamat dan perlukah anda masuk campur?
Posisi kepala bayi saat tidur, apa yang selamat?
Foto: iStok
Sebelum itu, anda perlu ketahui bahawa bayi akan mula cuba menerbalikkan diri seawal usia 4 bulan dan ketika bayi sudah menjangkau usia 6 bulan, mereka akan boleh mula menerbalikkan diri ke kiri dan kanan.
Apabila si manja sudah belajar meniarap dengan sendiri, ketahuilah bahawa risiko bagi mereka untuk mengalami SIDS akan berkurang dengan drastik.
Sekiranya anda tersedar bahawa bayi tidur dalam keadaan meniarap padahal pada mulanya ia tidur dalam keadaan terlentang, tidak mengapa untuk anda membiarkan sahaja si manja terus tidur tanpa membetulkan posisi mereka kecuali jika kepala mereka berada di posisi yang salah.
Bolehkah saya tidurkan bayi secara meniarap?
Walaupun si manja sudah boleh tidur dengan meniarap, anda patut tahu bahawa mereka boleh tidur dengan meniarap apabila mereka menerbalikkan diri dengan sendiri.
Jika anda hendak menidurkan si manja, pastikan mereka masih dalam keadaan baring seperti biasa sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya setahun!
Langkah berjaga-jaga dalam posisi kepala bayi saat tidur
Sekalipun ianya adalah selamat untuk si manja tidur meniarap, anda masih perlu mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan bayi terjamin.
#1. Memastikan tempat tidur mereka kosong
Apabila si manja sudah boleh meniarap ketika tidur, anda perlulah memastikan katil bayi mereka kosong daripada patung-patung dan mainan. Ini untuk mengelakkan si manja tersilap menerbalikkan diri ke atas objek yang mungkin akan mengganggu tidur mereka (dan anda!). Jadi, seeloknya anda pastikan tempat tidur si manja selesa pada tahap maksima.
#2. Jangan membedung mereka
Bayi yang sudah boleh menerbalikkan diri tidak lagi perlu dibedung. Ini kerana bedung tersebut mengehadkan pergerakan mereka, dan si manja yang hendak meniarap saat tidur memerlukan tangan mereka untuk bertukar kepada posisi lain dan sekiranya si manja mula membuka bedung dengan sendiri ketika tidur, mereka berdepan dengan risiko untuk tercekik atau lemas.
#3. Tidak menggunakan alatan
Alatan yang kami maksudkan adalah alatan seperti wedgers (penahan) atau positioners yang boleh menghalang si manja anda tidur dengan bebas. Anda tidak perlu menggunakan alatan-alatan ini kerana bukan sahaja ia boleh menganggu tidur si manja anda, tetapi ia juga boleh menjadi penyebab si manja anda tercekik ketika mereka tidur!
Cara menguatkan leher bayi
Foto: iStok
Sekiranya si manja anda sudah tiba waktu untuk mereka meniarap tetapi masih tidak melakukannya, tentulah kami akan berkongsi tips-tips yang boleh anda amalkan untuk galakkan si manja untuk meniarap!
Sebelum itu, ketahuilah bahawa jika si manja anda masih belum bersedia untuk meniarap, anda tidak boleh memaksa mereka. Lama-kelamaan pasti mereka akan menerbalikkan badan dengan sendiri, jadi tugas anda hanyalah untuk memberi perhatian terhadap tanda-tanda mereka sudah bersedia. Selain dari itu, ini tips yang anda boleh gunakan!
#1. Meletakkan si manja secara meniarap
Tidak salah untuk ibu atau ayah untuk meletakkan anak dalam keadaan meniarap sekali-sekala, tetapi jika mereka menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, segeralah kembalikan mereka kepada posisi asal. Aktiviti ini dipanggil tummy time dan ia sangat bagus untuk menguatkan otot leher, bahu dan lengan si manja.
#2. Menggunakan mainan yang menarik
Adakah anda rasa bahawa si manja sudah menunjukkan mereka hendak meniarap? Gunakanlah mainan yang mempunyai warna yang boleh menarik minat si manja! Letakkan mainan di hadapan anak, dan apabila tumpuan mereka sudah terhadap mainan tersebut, letakkan ia di sisi si manja pada posisi yang mereka boleh nampak mainan tersebut. Sekiranya si manja melihat anda mengalih mainan tersebut, pasti mereka akan semangat untuk mula bergolek untuk mendapatkan mainan itu.
#3. Menggunakan kain atau selimut
Foto: iStok
Bayi anda mungkin sudah bersedia tetapi masih tidak dapat memahami konsep pergerakan meniarap dengan sebetulnya, jadi anda boleh meletakkan si manja di atas selimut dan apabila mereka menunjukkan tanda-tanda hendak meniarap dan sudah berada pada tahap tertinggi “tiarapan” tersebut, angkatlah kain tersebut untuk membantu si manja dengan pergerakan bergolek tersebut supaya mereka akan dapat meniarap. Lama-kelamaan, pasti si manja akan mula faham apa mereka perlu lakukan.
#4. Puji kerja keras mereka
Si manja anda mungkin masih kecil, tetapi mereka tidak terlalu kecil untuk faham kata-kata pujian dan galakan yang positif. Sekiranya si manja anda sudah berjaya meniarap, pujilah mereka dan berikan kata galakan yang positif terhadap usaha mereka berbanding hasilnya. Ini akan membuatkan si manja lebih bersemangat untuk mencuba lagi!
Kami berharap dengan tips-tips dan info yang telah kami kongsikan di atas, ibu dan ayah dapat gunakan sebaik mungkin. Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Safe to Sleep, Education.com
Baca juga: Bayi Tidur Sepanjang Malam, Adakah Ia Normal?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!