Kencing tak lawas boleh menyebabkan ketidakselesaan menjalani kehidupan seharian. Kencing tak lawas atau urinary hesitancy adalah masalah sukar dan sakit ketika ingin mengeluarkan air kencing.
Ia boleh berlaku kepada lelaki dan wanita dengan pelbagai gejala seperti aliran air kencing yang perlahan, terhenti-henti, atau rasa tidak puas selepas buang air kecil.
Apa Itu Kencing Tak Lawas
Kencing tak lawas ialah keadaan di mana seseorang rasa tidak puas selepas membuang air kecil. Kadang-kadang, ada rasa ingin kencing lagi walaupun baru sahaja ke tandas. Ini boleh mengganggu aktiviti harian dan menimbulkan ketidakselesaan.
Memahami Sistem Urinari
Sistem urinari, yang turut dikenali sebagai sistem perkumuhan buah pinggang, berperanan menghasilkan, menyimpan, dan menyingkirkan air kencing — iaitu sisa cecair yang disingkirkan oleh buah pinggang. Berikut adalah organ utama dalam sistem ini beserta fungsinya:
1. Buah Pinggang
Buah pinggang ialah organ berbentuk kacang yang terletak di bahagian belakang rongga perut. Menariknya, buah pinggang kiri terletak sedikit lebih tinggi berbanding yang kanan kerana saiz hati di sebelah kanan lebih besar.
Berbeza dengan organ lain dalam rongga perut, buah pinggang berada di belakang peritoneum dan bersentuhan dengan otot belakang. Organ ini dilindungi oleh lapisan lemak (adipose) yang membantu mengekalkan posisinya serta melindungi daripada kecederaan fizikal.
Peranan utama buah pinggang adalah menapis sisa metabolik, ion berlebihan, dan bahan kimia dari darah bagi menghasilkan air kencing.
2. Ureter
Ureter adalah sepasang tiub yang mengangkut air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing. Panjang setiap ureter adalah kira-kira 10 hingga 12 inci dan terletak di kedua-dua sisi badan, selari dengan tulang belakang.
Pergerakan air kencing ke pundi kencing dibantu oleh graviti dan peristalsis, iaitu pengecutan otot licin pada dinding ureter. Di hujung ureter, terdapat injap ureterovesikal yang berfungsi menghalang aliran balik air kencing ke buah pinggang.
3. Pundi Kencing
Pundi kencing merupakan organ berongga berbentuk seperti kantung yang berfungsi menyimpan air kencing. Lokasinya adalah di bahagian tengah bawah pelvis.
Apabila air kencing mengalir dari ureter ke pundi kencing, dinding elastiknya akan mengembang bagi menyimpan jumlah air kencing sehingga mencapai 600 hingga 800 ml.
4. Uretra
Uretra ialah saluran yang membawa air kencing keluar dari badan melalui pundi kencing. Bagi wanita, uretra berukuran kira-kira 2 inci panjang dan berakhir di kawasan berhampiran kelentit dan pembukaan faraj.
Untuk golongan lelaki pula, uretra lebih panjang iaitu sekitar 8 hingga 10 inci dan berakhir di hujung zakar. Uretra juga memainkan peranan dalam sistem pembiakan lelaki kerana saluran ini turut mengangkut sperma keluar daripada badan.
Aliran air kencing melalui uretra dikawal oleh dua jenis otot sfingter: sfingter urethral dalaman dan luaran. Sfingter dalaman, yang terdiri daripada otot licin, akan terbuka secara automatik apabila pundi kencing mencapai tahap tekanan tertentu, yang menimbulkan rasa ingin membuang air kecil.
Manakala, sfingter urethral luaran yang terdiri daripada otot rangka boleh dikawal secara sedar untuk melambatkan atau melepaskan aliran air kencing.
Penyimpanan Hasil Buangan
Selepas buah pinggang menghasilkan air kencing, ia dihantar ke pundi kencing melalui saluran ureter.
Pundi kencing kemudian mengumpul dan menyimpan air kencing sehingga tubuh bersedia untuk mengeluarkannya.
Apabila jumlah air kencing dalam pundi kencing mencapai sekitar 150 hingga 400 mililiter, dinding pundi kencing mula meregang. Pada masa yang sama, reseptor peregangan di dinding tersebut menghantar isyarat ke otak dan saraf tunjang.
Isyarat ini menyebabkan otot sphincter urethral dalaman menjadi longgar secara automatik, dan timbul rasa ingin membuang air kecil.
Air kencing boleh ditahan selagi pundi kencing belum mencapai kapasiti maksimum. Namun, apabila isyarat saraf semakin kuat, seseorang akan mula berasa tidak selesa dan keinginan untuk membuang air kecil menjadi lebih mendesak.
Jenis Kencing Tak Lawas
Kencing tak lawas (urinary incontinence) adalah keadaan di mana seseorang sukar mengawal pembuangan air kencing. Ada beberapa jenis kencing tak lawas yang biasa berlaku:
1. Inkontinens Stress
Berlaku apabila tekanan pada pundi kencing meningkat, seperti ketika batuk, bersin, ketawa, atau mengangkat berat. Otot pelvik yang lemah biasanya menjadi punca.
2. Inkontinens Desakan (Urge Incontinence)
Anda tiba-tiba rasa ingin membuang air kecil dengan mendesak dan tak sempat ke tandas. Keadaan ini sering dikaitkan dengan pundi kencing terlalu aktif (overactive bladder).
3. Inkontinens Luapan (Overflow Incontinence)
Berlaku apabila pundi kencing tidak mengosongkan air kencing sepenuhnya, menyebabkan titisan air kencing keluar secara berterusan. Ini biasanya disebabkan oleh halangan saluran kencing atau otot pundi yang lemah.
4. Inkontinens Fungsional
Kencing tak lawas jenis ini berlaku kerana masalah fizikal atau mental yang menyukarkan seseorang untuk sampai ke tandas tepat pada waktunya, seperti arthritis atau demensia.
5. Inkontinens Campuran (Mixed Incontinence)
Gabungan dua atau lebih jenis inkontinens, biasanya stress dan urge incontinence, di mana seseorang mengalami kebocoran air kencing akibat tekanan dan juga desakan mendadak.
Punca Kencing Tak Lawas
Berikut beberapa punca kencing tak lawas:
1. Jangkitan Saluran Kencing (UTI)
Jangkitan saluran kencing menjadi salah satu punca kencing tak lawas. Jangkitan ini menyebabkan keradangan pada saluran kencing, yang menghalang aliran air kencing dan menyebabkan rasa sakit atau pedih semasa kencing.
2. Pembesaran Prostat (BPH)
Bagi lelaki, kencing tak lawas sering dikaitkan dengan pembesaran prostat (benign prostatic hyperplasia – BPH). Prostat yang membesar menekan saluran kencing, menyempitkan laluan air kencing dan menyebabkan kesukaran untuk kencing secara lancar.
3. Batu Karang
Batu karang dalam pundi kencing atau buah pinggang boleh jadi punca kencing tak lawas. Batu tersebut boleh menyekat saluran kencing atau menyebabkan iritasi, yang menyebabkan aliran air kencing terganggu dan rasa sakit ketika buang air kecil.
4. Dehidrasi
Dehidrasi menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat, dan ini boleh menyukarkan proses kencing. Ia juga boleh menyebabkan rasa terbakar atau iritasi pada saluran kencing.
5. Nerve Damage (Kerosakan Saraf)
Masalah saraf akibat diabetes, strok, atau kecederaan tulang belakang juga punca kencing tak lawas. Ini kerana saraf yang mengawal pundi kencing tidak berfungsi dengan baik, menghalang proses pengosongan pundi kencing dengan sempurna.
6. Penyakit Kelamin (STD)
Beberapa penyakit kelamin seperti gonorrhea dan klamidia boleh menyebabkan keradangan pada uretra, mengakibatkan kencing tak lawas. Gejala lain termasuk rasa sakit dan iritasi semasa buang air kecil.
7. Kanser Pundi Kencing
Walaupun jarang berlaku, kanser pundi kencing boleh menyebabkan masalah kencing tak lawas. Tumor yang berkembang di dalam pundi kencing atau berhampiran uretra boleh menyekat aliran air kencing, menyebabkan kesukaran untuk kencing dengan normal.
8. Sindrom Pundi Kencing Terlebih Aktif (Overactive Bladder)
Pundi kencing yang terlalu aktif menyebabkan dorongan untuk kencing yang kerap dan mendadak, namun kadang-kadang air kencing tidak keluar dengan lancar atau hanya sedikit yang dikeluarkan. Ini boleh menyebabkan rasa tidak puas selepas buang air kecil.
9. Striktur Uretra
Striktur uretra berlaku apabila terdapat penyempitan pada uretra akibat parut atau kecederaan, yang menyekat aliran air kencing. Penyempitan ini biasanya disebabkan oleh trauma, jangkitan, atau prosedur perubatan tertentu seperti kateterisasi.
10. Kehamilan
Bagi wanita hamil, tekanan dari rahim yang membesar boleh menyebabkan kencing tak lawas. Rahim menekan pundi kencing, menyebabkan kesukaran mengosongkan pundi kencing sepenuhnya atau menyebabkan kencing terhenti-henti.
Cara Mengatasi Kencing Tak Lawas
Berikut cara mengatasi kencing tak lawas agar tidak menganggu aktiviti harian anda:
1. Minum Air Secukupnya
Pengambilan air yang mencukupi dapat membantu mencairkan air kencing dan memudahkan alirannya. Dehidrasi boleh memperburukkan masalah kencing tak lawas.
2. Rawatan Antibiotik
Jika punca kencing tak lawas adalah jangkitan saluran kencing atau penyakit kelamin, doktor mungkin akan memberikan antibiotik untuk merawat jangkitan tersebut.
3. Rawatan Prostat
Bagi lelaki yang mengalami pembesaran prostat, doktor mungkin akan mencadangkan ubat untuk mengecilkan saiz prostat atau prosedur pembedahan bagi mengatasi masalah aliran air kencing yang tersekat.
4. Penggunaan Kateter
Bagi pesakit yang menghadapi kesukaran mengosongkan pundi kencing sepenuhnya, penggunaan kateter boleh membantu mengalirkan air kencing secara berkesan.
5. Senaman Kegel
Senaman Kegel membantu menguatkan otot-otot lantai pelvis, yang boleh meningkatkan kawalan pundi kencing dan membantu dalam pengosongan pundi kencing dengan lebih lancar, terutamanya bagi wanita selepas melahirkan anak atau individu yang mempunyai pundi kencing terlalu aktif.
6. Prosedur Pembedahan
Jika terdapat masalah fizikal seperti batu karang atau tumor, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengatasi penyumbatan pada saluran kencing dan memperbaiki aliran air kencing.
7. Elakkan Makanan dan Minuman Tertentu
Beberapa makanan dan minuman seperti kafein, alkohol, dan makanan pedas boleh mengiritasi pundi kencing dan memperburukkan kencing tak lawas. Elakkan makanan ini jika anda mempunyai masalah ini.
8. Fisioterapi
Fisioterapi boleh membantu pesakit yang mengalami kencing tak lawas akibat kerosakan saraf atau masalah otot. Latihan yang khusus boleh membantu meningkatkan fungsi pundi kencing dan memperbaiki aliran air kencing.
9. Mengawal Penyakit Kronik
Pesakit yang menghidap diabetes atau penyakit saraf lain perlu mengawal keadaan kesihatan mereka dengan baik untuk mengurangkan risiko kencing tak lawas.
10. Ubat-ubatan
Bagi pesakit dengan sindrom pundi kencing terlebih aktif, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan yang dapat menenangkan otot pundi kencing dan mengurangkan dorongan untuk kencing yang berlebihan.
Kencing tak lawas adalah masalah yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor kesihatan seperti jangkitan, kerosakan saraf, atau masalah prostat. Meskipun ia boleh menjadi masalah yang mengganggu kehidupan seharian, terdapat pelbagai cara untuk merawatnya.
Mengenalpasti punca sebenar adalah kunci untuk mendapatkan rawatan yang berkesan. Jika gejala kencing tak lawas berlanjutan, segera dapatkan nasihat doktor untuk diagnosis dan rawatan yang tepat. Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 30 Pantang Larang Makanan Dan Minuman Untuk Penghidap Ekzema, Elak Gejala Jadi Teruk
Baca juga: 10 Cara Hilangkan Kelemumur Yang Berkesan Ikut Cara Tradisional & Moden
Baca juga: Tanda Sakit Jantung Dan Gejala Amaran Awal, Jantung Terhenti & Serangan Strok
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!