Resepi Pengat Pisang Yang Sedap & Berlemak, Menu Pencuci Mulut Paling Ramai Suka

Resepi pengat ini sangat mudah untuk anda cuba. Ia menjadi pelengkap untuk semua hidangan berbuka puasa dan sesuai dinikmati ketika moreh

Sedapnya makan pengat, lebih-lebih lagi ketika minum petang. Hidang bersama air teh panas memang cukup sempurna. Bukan itu sahaja resepi pengat pisang sering menjadi kesukaan seisi keluarga kerana ia boleh dimakan bersama pulut, biskut kering ataupun roti putih. 

Rasanya sedap, lemak masin secukup rasa dan diimbangi pula dengan rasa masam dari pisang tanduk. Untuk lebih sedap, anda disaran simpan dalam peti sejuk terlebih dahulu sebelum menikmatinya.

Resepi pengat pisang che nom yang sedap dan mudah

Pengat pisang atau serawa pisang sesuai dijadikan sebagai menu pencuci mulut ataupun minum petang bersama keluarga.

resepi pengat pisang

Jika di pantai timur, ia mudah ditemui di majlis-majlis keramaian ataupun di kedai makan. Maklumlah orang belah sana suka yang manis-manis.

Sekali sekala apa kata anda buat sendiri pengat pisang di rumah, bahan yang digunakan cukup mudah dan ringkas.

Bahan-bahan untuk resepi pengat pisang:

  • 3-4 biji pisang tanduk
  • 2 mangkuk santan pekat
  • 2 mangkuk santan cair (ATAU boleh gantikan dengan 2 santan kotak dan 2 cawan air)
  • 1/2 cawan sagu, bersihkan
  • 2-3 keping nisan/gula melaka
  • 1/3 cawan gula pasir
  • 2 helai daun pandan
  • garam secukup rasa

Cara penyediaan:

  1. Buang kulit pisang tanduk dan hiris setebal 1-2 cm.
  2. Rendam dalam air kapur selama 1/2 jam (optional).
  3. Bilas pisang dan masukkan ke dalam periuk. Masak pisang bersama santan cair, sagu, gula melaka, gula pasir, daun pandan dan garam secukup rasa di atas api yang perlahan.
  4. Kacau dengan kerap dan perlahan supaya santan tidak berketul.
  5. Masukkan pula santan pekat dan kacau seketika. Apabila kuah mula mendidih, tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Tips:

  • Pisang boleh direndam dengan air kapur seketika supaya isi menjadi kenyal dan tidak hancur.
  • Kuah santan harus dikacau dengan kerap di atas api perlahan supaya kuah tidak berketul.
  • Gunakan santan segar agar rasanya lebih sedap berbanding santan kotak.
  • Jika suka, anda boleh buat pengat pisang sagu dengan memasukkan sagu yang sudah dimasak hingga jernih ke dalam periuk pengat pisang. Kacau rata dan sedia untuk dinikmati.

Jenis pisang yang sesuai untuk buat pengat atau serawa pisang

  • pisang nangka
  • pisang abu
  • pisang berangan
  • pisang tanduk
  • pisang emas

Resepi bubur pengat lain yang sedap dan perlu dicuba

#1) Resepi pengat durian

resepi pengat durian

Resepi pengat durian atau serawa durian memang sesuai disajikan sebagai hidangan pencuci mulut. Ia dianggap menu istimewa memandangkan buah ini bermusim dan harganya agak mahal.

Ada juga sesetengah tempat panggil hidangan ini sebagai bubur durian. Yang pasti cara masakannya adalah lebih kurang sama.

Serawa durian sesuai disajikan bersama pulut kukus, roti putih atau juga roti jala.

Bahan-bahan:

  • 10-15 ulas isi durian, bersama biji
  • 1 mangkuk santan cair
  • 2 helai daun pandan, carik dan simpul
  • 1/2 cawan gula pasir
  • seketul kecil gula melaka
  • garam secukup rasa
  • 1 mangkuk santan pekat
  • sedikit air, jika perlu

Cara-cara buat resepi pengat durian:

  1. Masukkan ulas durian bersama bijinya, santan cair dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga isi durian hancur dan menjadi kuah yang pekat sebati.
  2. Masukkan gula pasir, gula melaka dan garam. Teruskan didih di atas api yang perlahan dan kacau sebati kemudian masukkan pula santan pekat.
  3. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat. Angkat dan hidangkan bersama pulut kukus.

#2) Pengat keledek ungu dan sagu

resepi pengat

Bahan-bahan:

  • 3 ketul ubi keledek ungu (kupas kulit, potong saiz yang sesuai dan kukus atau rebus hingga empuk)
  • 1 helai daun pandan
  • 1 biji kelapa parut
  • 4 cawan air masak
  • 1-2 keping gula melaka
  • Sedikit garam
  • Gula secukupnya
  • 2 sudu makan sagu yang direndam terlebih dahulu

Cara-cara penyediaan:

  1. Perah kelapa parut menggunakan air masak untuk mendapatkan santan. Masukkan ke dalam periuk bersama-sama daun pandan, sagu, gula melaka, gula dan garam. Masak dengan menggunakan api sederhana
  2. Sentiasa kacau supaya tidak meruap. Jangan masak hingga mendidih terlalu lama kerana kepala santan mudah terbentuk.
  3. Bila mendidih sebentar dan sagu sudah bertukar warna, bolehlah padamkan api.
  4. Masukkan ubi yang telah dikukus ke dalam mangkuk, tuangkan kuah pengat dan sedia untuk dinikmati.

#3) Resepi pengat labu

resepi pengat

Bahan-bahan untuk resepi pengat labu:

  • 1 biji buah labu manis saiz sederhana besar (dipotong dan dibuang kulitnya kemudian dibersihkan) potong besar-besar sikit supaya tak mudah hancur
  • 1 ikat daun pandan
  • 100 gram biji sagu (sagu direndam awal 15 minit untuk memudahkan atau mempercepatkan proses mengembang)
  • Sedikit garam
  • 1 keping besar gula nise atau gula kerek
  • 1 kotak kecil santan pekat (200 ml)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan labu dan isikan air ke dalam periuk. Masukkan juga sagu dan daun pandan. Mulakan proses merebus sehingga labu separuh empuk.
  2. Setelah labu separuh empuk, barulah dimasukkan gula nise. Gula nise sebolehnya jangan masuk awal sebelum sagu mengembang kerana ia akan merencatkan sagu, seterusnya akan lambat kembang. Boleh tambahkan sedikit gula putih jika ingin rasa yang lebih manis mengikut selera anda.
  3. Kemudian, masukkan sedikit garam (sedikit sahaja). Tujuan dimasukkan sedikit garam untuk seimbangkan rasa kuah dan menyerlahkan rasa lemak pengat labu ini.
  4. Akhir sekali, barulah masukkan santan pekat, kacau dan masak selama 5 minit. Kemudian, tutup api dan sedia untuk dihidang.

#4) Pengat pisang bersagu dan jagung

resepi pengat

Bahan-bahan:

  • 7-8 biji pisang berangan
  • 1 mangkuk kecil jagung frozen
  • 1 mangkuk kecil biji sagu
  • 1.3 L air
  • 2 kotak santan pekat atau 2 cawan santan segar
  • 1/3 cawan gula pasir
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 helai daun pandan (simpul)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan air, gula dan biji sagu, masak sehingga biji sagu menjadi jernih.
  2. Kemudian masukkan santan pekat, daun pandan, garam diikuti jagung dan buah pisang.
  3. Masak hingga sedikit pekat dan tutup api. Siap untuk dihidang.

#5) Pengat nangka

pengat nangka

Bahan-bahan pengat nangka:

  • 7 ulas buah nangka, dihiris
  • 3-4 sudu besar gula batu tebu
  • 1 ikat daun pandan
  • Sedikit garam
  • Santan secukupnya
  • 1/4 cawan biji sagu, dicuci

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan 3 cawan air bersama gula batu tebu dan daun pandan sehingga gula larut.
  2. Masukkan nangka dan renehkan sehingga isi nangka cukup lembut.
  3. Tuangkan masuk santan dan biji sagu. Perasakan dengan sedikit garam.

#6) Pengat ubi

Resepi Pengat Pisang Yang Sedap & Berlemak, Menu Pencuci Mulut Paling Ramai Suka

Bahan-bahan:

  • Ubi kayu anggaran 3 ketul (paling sedap ubi Indonesia kerana isinya)
  • 2 keping gula anau
  • 1 biji kelapa parut (perah ambil pati sahaja)
  • Daun pandan

Cara-cara penyediaan:

  1. Bersihkan ubi dan potong kecil-kecik. Masukkan dalam periuk dan rebus seketika bersama daun pandan.
  2. Agak-agak hampir empuk, masukkan santan dan gula anau dan secubit garam.
  3. Memasak pengat ini tidak memerlukan masa yang lama kerana ubi Indonesia cepat empuk. Untuk yang menyukai rasa manis, boleh tambah gula pasir.

#7) Pengat pisang manis berlemak

Resepi Pengat Pisang Yang Sedap & Berlemak, Menu Pencuci Mulut Paling Ramai Suka

Bahan-bahan:

  • Pisang nangka yang lembut
  • Biji sagu
  • Gula Melaka
  • Gula pasir
  • Santan segar
  • Susu tin cair
  • Daun pandan

Cara-cara penyediaan:

  1. Didihkan air, masukkan gula melaka hingga cair. Masukkan juga gula pasir ikut selera masing-masing jika mahukan rasa pengat manis
  2. Basuh biji sagu dan kepalkan bulat-bulat. Kalau tidak mahu kepalkan, biarkan tabur biasa pun boleh.
  3. Apabila sudah masak jernih biji sagu, masukkan pisang yang telah dipotong-potong dan santan segar. Letak juga susu tin cair sedikit untuk rasa berlemak.
  4. Masukkan daun pandan untuk bau yang harum.
  5. Sederhanakan api dapur supaya santan tidak pecah. Kacau-kacau kuah sampai mendidih. Tutup api dan siap untuk dihidang.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:  7 Resepi Aiskrim Buah Homemade Yang Mudah & Sedap, Anak-Anak Pasti Sukakannya!

Baca juga:  Resepi Oreo Cheesecake Sedap Dengan 3 Cara Yang Mudah, Anak Kecil Pasti Suka!

Baca juga: 4 Resepi Sihat Untuk Anak Tak Suka Makan Sayur, Dia Tak Sedar Pun Ada Sayur Dalam Menu Tu!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!