Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Dianggarkan 1 daripada 15 wanita di seluruh dunia menghidap penyakit PCOS dan sukar untuk hamil. Mari ketahui tentang isu kesuburan wanita ini dengan lebih lanjut lagi.

Sindrom Polisistik Ovari atau PCOS adalah gangguan hormon biasa yang mempengaruhi wanita yang masih dalam lingkungan umur reproduktif.

Nama sindrom ini diperolehi daripada berbilang(atau poli) sista ovari yang boleh dilihat semasa pemeriksaan ultrasound.

Sebenarnya “sista” ini bukan sista tetapi folikel yang tidak matang, jadi, sindrom ovari polyfollikular adalah nama yang lebih tepat.

Dianggarkan 1 daripada 15 wanita di seluruh dunia menghidap penyakit ini dan sukar untuk hamil.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Sumber gambar : whitelotusclinic.ca

Hormon yang tidak seimbang adalah faktor utama mengapa ovulasi tidak tetap, dan inilah yang menyebabkan ramai pasangan suami isteri sukar untuk hamil.

Walaupun selepas beberapa percubaan sepanjang perkahwinan mereka, mereka masih belum menimang cahaya mata. 

Apakah simptom penyakit PCOS?
  • Kitaran haid yang tidak teratur, berpanjangan dan dalam kuantiti yang banyak
  • Kenaikan berat badan atau obesiti
  • Kencing manis
  • Kolesterol tinggi
  • Kemandulan
  • Ketumbuhan bulu yang berlebihan seperti lelaki seperti misai, janggut dan di bahagian dada

Apabila anda mempunyai simptom di atas dan sukar hamil, ujian darah dan pemeriksaan ultrasound melalui faraj akan dilakukan.

Doktor akan mengesahkan anda penghidap sindrom ini jika keputusan ujian darah menunjukkan hormon tidak seimbang dan imbasan trans-vaginal ultrasound menunjukkan PCOS.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Imbasan ultrasound PCOS. Sumber gambar : sogiscan.com.au

Risiko dan kesan masa panjang?

10-20% pesakit PCOS boleh menghidap penyakit kencing manis, terutamanya mereka yang mempunyai keluarga dengan sejarah kencing manis atau obesiti.

Risiko lain termasuk masalah darah tinggi, masalah tidur, penyakit murung dan masalah sakit jantung jika pesakit menghidapi kencing manis dan darah tinggi. 

Pesakit juga mempunyai risiko kanser rahim terutamanya pesakit yang sering tidak datang haid.

Rawatan untuk PCOS
Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Sumber gambar : Parenting

Pesakit berbadan besar yang ingin rawatan semulajadi tanpa makan ubat akan disaran untuk mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat untuk menurunkan berat badan.

Untuk sesetengah pesakit, penurunan berat badan sebanyak 5-10% sudah boleh menampakkan kemajuan dari segi kitaran haid yang lebih teratur.

Apabila kitaran haid mereka beransur baik, peluang untuk hamil akan bertambah.

Pesakit juga boleh diberi pil perancang atau hormon untuk melaraskan kitaran haid. Kemudian ini boleh diikuti dengan ubat kesuburan untuk merangsangkan ovulasi.

Bagi mereka yang juga menghidap kencing manis atau kadar hormon insulin yang tinggi, ubat kencing manis akan diberikan. 

Diet pesakit PCOS

Para penyelidik berpendapat bahawa dengan tidak memakan gula, sayuran berkanji, karbohidrat dan tenusu, ini dapat membantu mengurangkan kesan hormon yang tidak seimbang.

Lebih-lebih lagi, ramai wanita telah mengesahkan bahawa diet rendah karbohidrat memang telah membantu mereka mengurangkan berat badan.

Namun tuntutan bahawa diet rendah karbohidrat boleh membantu PCOS tidak disokong oleh kajian, dan tiada bukti konklusif bahawa ia boleh dikawal dengan berdiet sahaja – khususnya diet rendah karbohidrat dan protein tinggi yang disyorkan oleh beberapa doktor PCOS.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sindrom Polisistik Ovari (PCOS)

Tetapi pesakit disarankan untuk memakan makanan yang mempunyai GI (Glycaemic Index) yang rendah.

Makanan yang mempunyai GI rendah akan dihadam dan diserap pada kadar yang perlahan.

Oleh itu, paras gula dan hormon insulin akan menaik dengan perlahan-lahan. Paras gula yang lebih stabil ini mempunyai kesan kesihatan yang baik.

Kajian telah membuktikan yang diet GI yang rendah berupaya mengawal paras gula dan kolesterol di kalangan pesakit yang menghidapi kencing manis.

Ia juga boleh menurunkan berat badan pesakit, mengawal nafsu makan dan menyebabkan rasa kenyang yang lebih lama.

Di samping itu, diet ini boleh menurunkan paras hormon insulin dan merawati penahanan insulin.

Walaupun PCOS adalah gangguan yang boleh melanda 1 daripada 15 wanita, tidak banyak kajian telah dilakukan khusus untuk PCOS. 

Bincang dengan doktor untuk mendapatkan gabungan ubat yang betul, serta rutin gaya hidup yang sihat.

Ini sebagai langkah pencegahan supaya simptom PCOS boleh dikawal dan tidak semakin teruk.

Sumber: Dr. Natasha Nor Fertility, Healthworks, Huffington Post

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner