Alahai, comelnya apabila melihat bayi perempuan memakai aksesori kepala yang sedondon dengan baju mereka. Kadang-kala buat kita sendiri rasa geram dan tak sabar nak cuba pakaikan pelbagai aksesori walaupun rambut si manja masih tidak lebat!
Namun begitu, baru-baru ini ada satu artikel telah dikeluarkan dalam akhbar, membincangkan aksesori kepala bayi yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan bayi.
Menurut perunding pediatrik dan neonatalogi dalam artikel tersebut, tulang kepala bayi masih lembut terutama pada usia selepas lahir sehingga 18 bulan menyebabkan ia mudah tercedera.
Antara perkara yang dibimbangi adalah keadaannya yang ketat, fabrik yang boleh menyebabkan alergi dan headband yang boleh jatuh ke leher dan tersangkut pada sesuatu.
Panduan Memilih Aksesori Kepala Untuk Anak Perempuan
Kredit: Pixabay
Ibu, ini tidak bermakna anda tidak boleh memakai langsung aksesori kepala pada bayi. Cuma untuk elakkan kecelakaan yang tidak diingini, ada beberapa panduan memilih aksesori kepala yang anda perlu tahu. Antaranya ialah:
1# Mengenal pasti bahan buatan
Untuk cekak rambut dan headband, pastikan ia dibuat daripada fabrik kapas atau lembut dan tetap ditempatnya serta memenuhi fungsi mengelakkan rambut jatuh ke mata dan muka. Malah lebih baik juga jika bahan tersebut diperbuat daripada bahan tanpa toksik.
2# Perhatikan hiasan pada aksesori kepala
Renda atau ropol yang keterlaluan boleh menyebabkan bayi tidak selesa. Malah ibu juga harus elakkan hiasan yang bergemerlapan (glitter), berbatu kecil atau mempunyai karekter kartun yang dibuat daripada plastik pada aksesori kepala.
Bagi hiasan reben, pastikan ia daripada jenis yang berkualiti kerana ada reben yang mempunyai tepi yang tajam dan boleh mengakibatkan luka. Buat masa sekarang, untuk bayi yang masih kecil, dinasihatkan jika memilih aksesori ringkas tanpa hiasan.
3# Ciri aksesori kepala
Kredit: The Ponytale
Sebelum membeli, anda perlu kenal pasti beberapa ciri-ciri pada aksesori kepala ini kerana tidak semua rekaannya sama ya.
- Cekak rambut dan headband: pastikan elastik dan elakkan jenis reben kerana mudah jatuh ke leher.
- Klip rambut: pilih klip alligator yang perlu ditekan untuk membuka dan boleh ditutup ketat. Ia tidak mudah untuk lekang daripada rambut bayi.
- Getah ikat rambut: elakkan sama sekali kerana mudah tanggal pada rambut bayi yang halus dan lembut.
- Bow rambut: pastikan saiznya tidak terlalu kecil hingga boleh dimasukkan ke dalam mulut jika bayi dapat mencapainya.
- Elakkan aksesori yang menyakitkan pada rambut dan kulit kepala bayi ketika menggunakannya.
- Jika ragu-ragu tentang bahan plastik dan besi bagi klip dan bow rambut, pilihlah cekak atau headband kerana ia lebih selamat.
4# Pemakaian
Jangan dipakaikan aksesori terlalu lama. Jika anda mula menunjukkan rasa tidak selesa atau cuba menarik aksesori daripada kepala, terus cabut dan simpan di tepi.
Jangan marah anak sekiranya dia enggan memakai aksesori. Dia hanya rasa tidak selesa!
Malah anda juga perlu buka aksesori kepala apabila bayi tidur atau apabila tiada pengawasan orang dewasa. Ini bagi memberikan keselesaan selain memastikan dia tidak termakan lantas tercekik.
Ibu juga boleh pastikan aksesori yang dipilih berfungsi sepenuhnya dan cantik dipandang. Sebagai contoh, bandana sesuai untuk menutup kepala sekiranya matahari terlalu terik dan pada masa yang sama, aksesori yang sangat comel!
Beberapa pilihan aksesori kepala bayi
Kredit: Hairclippy
Ketika membuat pilihan, ingatlah tabiat bayi yang suka menarik apa saja yang dirasakan tidak selesa pada rambut ataupun kepala dan suka memasukkan apa saja ke dalam mulut.
Dengan peringatan ini dan panduan di atas, beberapa jenis aksesori kepala bayi yang boleh anda pilih untuk si comel termasuk:
1# Cekak dan headbands
Kedua-dua jenis aksesori ini sangat digemari kerana ia senang dipakaikan. Ia biasanya dibuat daripada bahan yang pelbagai bahan termasuk kain kapas, resin dan plastik.
Yang terbaik adalah headband yang longgar dan muat-muat dengan selesa pada kepala bayi. Boleh juga jika anda buat sendiri menggunakan pantyhose.
Gunting saja ia menjadikannya seperti ‘ring’ dan pakaikan pada bayi. Ia tidak ketat dan lembut pada kulit bayi. Jenis fabrik yang boleh dibalut pada kepala bayi adalah lebih selamat berbanding jenis elastik.
Pilihan headband adalah terbaik sebagai aksesori kepala kerana biasanya ia terlalu besar untuk ditelan oleh bayi dan boleh dipadankan dengan baju mereka.
2# Klip rambut bayi
Klip rambut biasanya lebih berguna bagi rambut bayi yang sedikit panjang dan perlu untuk disisir ke belakang.
Biasanya ia dibuat daripada besi dan plastik, maka elakkan pemakaian yang terlalu ketat pada rambut dan kepala bayi.
Pastikan ianya mudah dibuka dan dikunci tanpa menyebabkan kesakitan. Cari klip rambut yang jika bayi menariknya, ia tidak mudah tanggal.
3# Topi dan serkup kepala
Kredit: Walmart
Topi dan serkup kepala juga boleh menjadi aksesori kepala bayi yang selamat dan memberi perlindungan kepada bayi daripada angin dan matahari.
Pilihlah buatan daripada kain kapas atau bulu. Namun ia agak mencabar kerana bayi tidak gemar membiarkan topi atau serkup kepala berada lama di atas kepala mereka.
Gunakan alat pengikat yang lembut dan selesa supaya tidak mengganggu bayi.
Jadi sebelum anda membuka laman shopping seperti Lazada atau Shopee, pastikan anda menyelidik aksesori kepala bayi terlebih dahulu dan pilih hanya yang selamat untuk si manja.
Jika orang dewasa pun rasa rimas dan sakit selepas memakai aksesori kepala terlalu lama, apatah lagi bayi yang tidak pandai untuk bercakap dan hanya tahu menjerit menangis sahaja.
Semoga bermanfaat!
Rujukan:
- Is it safe to use hair accessories on your baby?
- Will using hair accessories weaken my baby’s hair roots?
- Are baby hair clips safe?
- Baby hair accessories
- Baby headbands – the best and safest way to dress up your baby.
- “Cantik bawa mudarat?”: Berita Harian, 12.10.2012, Ruangan Famili – m/s F1 – F2.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Baru Mula Berjalan? 5 Tips Beli Kasut Bayi Yang Selesa Untuk Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!