Praeklampsia: Tanda, Risiko Dan Cara Pencegahan Yang Ibu Hamil Perlu Tahu

lead image

Ibu hamil harus menjaga kesihatan diri sendiri untuk mengelak praeklampsia. Praeklampsia itu apa? Apakah tanda-tandanya? Mari semak dengan lebih lanjut.

Praeklampsia itu apa?

Praeklampsia adalah sejenis keadaan yang hanya akan berlaku pada wanita hamil selepas 20 minggu kehamilan

Ia selalu dikaitkan dengan tekanan darah tinggi serta kehadiran protein dalam air kencing.

Punca sebenar terjadinya praeklampsia masih lagi tidak diketahui.

Sumber gambar: Wikimedia

Siapa yang berisiko untuk mendapat praeklampsia?

  • Ibu yang hamil buat pertama kali
  • Ibu yang mempunyai sejarah hipertensi kehamilan atau praeklampsia
  • Wanita yang mempunyai adik-beradik dan ibu dengan sejarah praeklampsia
  • Kehamilan kembar
  • Wanita berumur di bawah 20 tahun dan 40 tahun ke atas
  • Wanita dengan penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit buah pinggang sebelum mengandung
  • Wanita gemuk dengan BMI 30 dan ke atas

Apakah tanda-tandanya penyakit praeklampsia ini?

Tanda-tanda kes ringan:

  • tekanan darah tinggi
  • pengekalan air di dalam tubuh (edema)
  • protein dalam air kencing

Tanda-tanda kes teruk:

  • sakit kepala
  • penglihatan menjadi kabur
  • tidak tahan cahaya terang
  • keletihan
  • mual / muntah
  • kencing dalam kuantiti yang sedikit
  • rasa sakit pada sebelah kanan bahagian atas abdomen
  • sesak nafas
  • lebih senang untuk mendapat lebam.

Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami penglihatan yang kabur, sakit kepala yang teruk, sakit perut, dan / atau jika kencing anda jarang sekali.

Adakah ia beri kesan buruk pada bayi?

Praeklampsia boleh menyebabkan pengurangan aliran darah ke plasenta sehingga perkembangan bayi terbantut disebabkan kekurangan oksigen dan nutrien. 

Tetapi kebanyakan wanita masih boleh melahiran bayi yang sihat dengan berat badan lahir yang rendah, jika praeklampsia telah dikesan lebih awal.

Namun, jika air ketuban semakin kurang dan bayi didapati tidak berkembang, bayi itu boleh mati dengan tiba-tiba di dalam kandungan.

Inilah sebab mengapa ibu hamil perlu dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan perkembangan bayi. 

Jika didapati bayi tersebut mengalami sebarang komplikasi, tindakan segera akan diambil untuk menyelamatkannya.

Adakah ia beri kesan buruk pada ibu hamil?

Jika praeklampsia tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius untuk ibu seperti kegagalan hati, kegagalan buah pinggang serta masalah jantung pada masa depan.

2 keadaan di mana ia boleh mengancam nyawa adalah:

  1. Eklampsia – Ini adalah bentuk praeklampsia yang teruk yang boleh menyebabkan sawan.
  2. Penyakit HELLP (hemolisis, enzim hati yang tinggi, dan bilangan platelet yang rendah) – Keadaan yang biasanya berlaku lewat dalam kehamilan yang boleh menjejaskan pecahan sel darah merah, pembekuan darah, dan fungsi hati untuk wanita hamil.

Bagaimana untuk tahu jika saya mengalami praeklampsia?

Pada setiap pemeriksaan pranatal, doktor akan memeriksa tekanan darah, paras air kencing, dan melakukan ujian darah jika mereka mengesyaki anda mungkin mengalami praeklampsia.

Doktor juga boleh melakukan ujian lain untuk memeriksa fungsi ginjal dan pembekuan darah.

Imbasan ultrasound akan dilakukan untuk memeriksa pertumbuhan bayi anda dan imbasan Doppler pula untuk mengukur kecekapan aliran darah ke plasenta.

Bagaimana untuk mencegah praeclampsia?

Buat masa ini, belum ada lagi cara yang pasti untuk mencegah keadaan ini, tetapi ia boleh dikawal dengan pemakanan yang sihat dan senaman.

Antara pemakanan sihat yang harus ibu hamil amalkan untuk mencegah praeklampsia adalah:

  • Kurangkan garam dalam makanan anda.
  • Minum 6-8 gelas air sehari.
  • Jangan makan terlalu banyak makanan goreng dan makanan ringan.
  • Dapatkan rehat yang cukup.
  • Amalan senaman ringan yang kerap.
  • Tinggikan kaki beberapa kali sehari.
  • Elakkan minum alkohol.
  • Elakkan minuman yang mengandungi kafein.
  • Doktor mungkin akan mencadangkan ubat dan vitamin tambahan.

Sumberrujukan: American Pregnancy dan The Malaysian Medical Gazette

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Bayi Ibu Ini Bergerak Terlalu Agresif Di Dalam Rahim, Adakah Ia Selamat?