Peranakan, rahim jatuh atau prolaps rahim adalah satu keadaan yang mana rahim jatuh ke bawah dan kadang kala terkeluar daripada saluran faraj.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Dr Nik Hazlina Nik Hussain, keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen atau otot yang memegang rahim pada kedudukan asal menjadi lemah akibat daripada kehamilan dan proses kelahiran lepas.
Oleh itu, rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj. Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat. Iaitu pada peringkat awal hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa.
Peringkat kedua adalah pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang disifatkan sebagai sangat teruk apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj iaitu satu keadaan yang biasa digelar tombong.
Tanda Peranakan Atau Rahim Jatuh

Pesakit mungkin akan mengalami beberapa tanda apabila peranakan atau rahim mereka jatuh. Ia termasuklah:
#1. Merasakan bahagian ari-arinya penuh dan tidak selesa
Jika anda pernah merasa tidak selesa1 dan ari-ari terasa seakan-akan padat atau penuh serta serba tidak selesa ia mungkin disebabkan oleh rahim jatuh.
#2. Merasakan sesuatu terkeluar daripada vagina
Boleh jadi anda akan rasa sesuatu keluar dari vagina yang mana sebelum ini tidak pernah anda alaminya.
#3. Sakit di bahagian ari-ari dan belakang
Mungkin anda akan rasa seperti kekejangan di bahagian ari-ari dan belakang badan. Ada kemungkin lebih kurang sama seperti anda mahu datang haid.
#4. Sakit ketika melakukan hubungan seks
Ini memang biasa dialami oleh mereka yang mengalami rahim jatuh. Hubungan seks akan mendatangkan rasa yang amat tidak selesa dan sakit.
Ia membuatkan anda mengelak melakukan hubungan seks kerana ia terlalu menyakitkan terutama ketika penetrasi zakar berlaku.
#5. Selalu mengalami jangkitan kuman pada tempat buang air kecil (kencing kotor)
Jika anda terlalu kerap alami kencing kotor, ada baiknya anda cuba buat pemeriksaan dengan doktor bagi mengetahui sama ada anda mengalami rahim jatuh atau sebaliknya.
#6. Susah untuk membuang air kencing
Mahu buang air kecil, tetapi sangat susah. Kadang kala terpaksa duduk lama dalam tandas untuk buang air kecil.
#7. Tidak boleh mengawal pembuangan air kencing
Jika terbatuk pun anda boleh terkencing dengan sendirinya. Ada baiknya anda pergi buat pemeriksaan doktor segera jika anda alami perkara ini.
Peranakan Jatuh Ketika Anak Dara
Bolehkan peranakan atau rahim jatuh ketika anda belum berkahwin?
Menurut, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Salmi Daraup, rahim jatuh boleh terjadi atas pelbagai faktor ia termasuklah kehamilan dan kaedah bersalin yang memerlukan bantuan seperti forceps.
Selain dari itu, berat badan berlebihan serta faktor usia lanjut juga merupakan salah satu sebab terutamanya selepas menopaus.
Lain-lain sebab termasuk sembelit, batuk berterusan atau sering mengangkat sesuatu yang berat di mana keadaan ini boleh menyebabkan kelemahan pada otot pelvis dan ligamen. Perkara ini kadang kala dibuat oleh mereka yang belum berkahwin dan masih anak dara.
Rahim Jatuh Selepas Hamil
Kehamilan dan kelahiran dipercayai menjadi antara punca paling kerap kepada masalah rahim jatuh.
Ia boleh terus berlaku sebaik sahaja bersalin ataupun 30 tahun selepas daripada itu.
Kebanyakkan faktor seperti berat bayi, trauma ketika melahirkan anak, kelahiran yang menekankan boleh menyebabkan otot bahagian peranakan menjadi lemah.
Tanda Peranakan Jatuh Selepas Bersalin
Wanita yang baru lepas bersalin cenderung mengalami masalah peranakan ‘jatuh’ atas beberapa sebab seperti meneran semasa bersalin, sembelit, bengkung yang ketat, batuk berpanjangan, atau melakukan kerja berat.
Semua aktiviti ini menyebabkan tekanan yang tinggi pada abdomen lalu memaksa otot-otot bekerja kuat untuk menampung rahim, lalu menjadi longgar. Semasa mengandung juga, ibu telah menanggung beban kandungan yang berat selama 40 minggu.
Selain itu punca prolaps adalah kelahiran yang kerap, anak terlalu besar ketika bersalin, meneran untuk tempoh masa yang lama, menghisap rokok, obesiti serta masalah pada respiratori kronik.
- Kencing tidak lawas
- Rasa berat di bahagian ari-ari
- Tidak boleh kawal kencing terutama ketika batuk dan bersin
- Rasa senak dan tidak selesa di bahagian perut
- Sakit tumit
- Sakit pinggang yang berpanjangan
- Paha dan betis rasa kebas
- Rasa badan seperti demam terutama pada waktu petang
Tanda Rahim Jatuh Ketika Pantang
Ketika berpantang sekiranya ada merasai beberapa perkara di bawah, elok anda buat pemeriksaan doktor kerana ada kemungkinan anda alami rahim jatuh ketika dalam pantang.
- Kencing tidak lawas
- Rasa berat di bahagian ari-ari
- Tidak boleh kawal kencing terutama ketika batuk dan bersin
- Rasa senak dan tidak selesa di bahagian perut
- Sakit tumit
- Sakit pinggang yang berpanjangan
- Paha dan betis rasa kebas
- Rasa badan seperti demam terutama pada waktu petang
Punca Peranakan Jatuh
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah ini. Ia termasuklah:
- Hamil dan kelahiran anak2: Kelahiran dipercayai menjadi punca kepada masalah ini. Ia boleh terus berlaku sebaik sahaja bersalin ataupun 30 tahun selepas daripada itu. Kebanyakkan faktor seperti berat bayi, trauma ketika melahirkan anak, kelahiran yang menekankan boleh menyebabkan otot bahagian peranakan menjadi lemah
- Fibroid yang besar
- Proses penuaan
- Menopause
- Obesiti
- Batuk yang lama
- Sembelit berpanjangan
- Selalu mengangkat berat
- Mempunyai sejarah pembedahan di bahagian yang berkaitan
Gambar Rahim Jatuh Peringkat Awal

Kesan Rahim Jatuh
Rahim jatuh adalah akibat kekenduran faraj dan otot rahim3, jadi sekiranya rahim jatuh, seseorang wanita akan mengalami masalah sistem urinari, hubungan seks, ketidakselesaan dan sakit pinggang serta masalah kesihatan lain.
Cara Merawat Peranakan Jatuh
Terdapat pelbagai kaedah untuk merawat rahim jatuh sama ada melalui pembedahan atau penggunaan pesari bagi menyendal rahim.
Pembedahan juga kadang kala dilakukan terhadap wanita yang gagal menahan kencing, Biasanya ia dilakukan bersama vaginal repair.
Bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah begini pada tahap teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan kerana tidak sesuai menerima bius, pesakit boleh menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam faraj yang dipanggil ring pessary.
Alat berkenana boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang menggunakan pesari perlu menjaga kebersihan faraj bagi mencegah jangkitan kuman.
Biasanya pemeriksaan dan penukaran pesari perlu dilakukan antara tiga hingga empat bulan sekali.
Cara Menaikkan Rahim Jatuh

- Jangan berdiri dalam masa yang lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan lunjurkan kaki atas bangku.
- Lakukan senaman pelvik. Ia menguatkan otot dalaman, membantu percepatkan proses pemulihan selepas pembedahan, dapat rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang.
- Ambil makanan yang baik supaya elak sembelit kronik.
- Banyakkan makan sayur, buah-buahan dan bijirin.
- Elakkan meneran di bilik air lebih 15 minit.
- Pakai sut pelangsingan badan tapi bukan korset yang terlalu ketat.
- Jangan merokok dan jauh daripada perokok untuk hindari batuk kronik
- Elak hamil dalam jarak yang rapat.
Antara kaedah yang boleh dicuba untuk kembalikan keadaan rahim selepas mengetahui punca peranakan jatuh:
- Urutan dan bertangas
- Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali sebulan bagi menjalani rawatan tradisional supaya rahim dalam keadaan baik.
- Jika masih di peringkat awal, teknik urutan yang betul mampu mengawalnya tapi kalau sudah teruk harus terus berjumpa doktor.
- Jalan terakhir adalah pembedahan dan buang rahim. Malah rahim adalah lebih penting daripada penjagaan wajah kerana memberi kesan pada seluruh tubuh wanita.
Cara Urut Peranakan Jatuh
#1. Berurut sendiri
- Baring di atas katil, rapatkan diri ke dinding.
- Sapu minyak panas atau minyak aromaterapi ke perut.
- Angkat kaki dan sandarkan ke dinding secara perlahan-lahan. Sambil mengangkat kaki, tarik bahagian yang berbenjol di atas ari-ari ke arah pusat.
- Dengan lembut, urut dari perut dari bawah iaitu ari-ari dan bawa naik ke pusat.
- Kalau anda berasa sakit, berhenti dahulu. Berehat lebih kurang lima minit sebelum mula urut semula dengan lembut.
- Urut selama 30 minit.
- Ulang setiap hari sehingga rahim anda tidak terasa jatuh lagi.
#2. Urutan sengkak
Dalam perbidanan Melayu, urutan sengkak adalah sejenis urutan dalaman atau womb uplift massage yang dilakukan untuk mengemaskan tubuh badan, khususnya posisi rahim.
Urut sengkak ini dilakukan selama 3 hari selepas hari ke-44 berpantang, sebagai rawatan penutup bagi wanita yang bersalin normal. Sengkak pada awal minggu adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan kepada rahim yang masih bengkak.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa urutan sengkak hanya membantu menaikkan rahim yang jatuh buat sementara waktu, tetapi tidak menguatkan otot lantai pelvis yang lemah.
Selepas anda berdiri atau batuk, rahim itu akan jatuh balik kerana otot lantai pelvis itu tidak kuat untuk menahan dan menyokong rahim di tempat asalnya.
Senaman Kegel atau lebih dikenali sebagai senaman ‘kemut’ merupakan satu-satunya cara untuk menguatkan kembali otot lantai pelvis selepas bersalin.
Ramai di antara kita memang pernah dengar atau pernah mencuba senaman. Tetapi ramai lagi yang tidak ketahui jika ia dibuat secara betul, kerana otot lantai pelvik tidak dapat dilihat.
Jika otot boleh menjadi lemah sudah pasti ia boleh dikuatkan kembali tetapi perlukan senaman untuk mengaktifkan otot tersebut, sama juga seperti otot lantai pelvis anda.
Jika otot lantai pelvis ini kuat dan ketat, ia mampu menahan rahim anda dari jatuh. Malah, dapat membantu anda mengawal kencing dengan lebih baik.
Ingat, bahawa hanya otot lantai pelvis ini yang menampung rahim anda dari jatuh maka secara logik hanya dengan menguatkan kembali otot ini dapat bantu menaikkan dan mengekalkan kedudukan rahim anda.
Jamu Untuk Rahim Jatuh
Benarkah ada jamu yang boleh merawat rahim jatuh? Setakat ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya kerana tiada sebarang bukti klinikal dan saintifik yang boleh mengesahkannya.
Sumber:
- NHS UK (March 24, 2021). Overview – Pelvic organ prolapse. https://www.nhs.uk/conditions/pelvic-organ-prolapse/
- Medical News Today (Februari 5, 2018). What is a bicornuate uterus?. https://www.medicalnewstoday.com/articles/320822
- NHS UK (March 24, 2021). Overview – Pelvic organ prolapse. https://www.nhs.uk/conditions/pelvic-organ-prolapse/
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 10 cara jaga rahim agar sihat dan TAK ROSAK, mulakan ia sekarang!
Baca juga: Minuman Berais Boleh Menjadi Punca Rahim Kembang Selepas Bersalin? Ini Penjelasan Doktor
Baca juga: 1 Dalam 50 Juta, Wanita Dengan Dua Rahim Berjaya Hamil Kembar Dalam Rahim Berbeza
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!