Ruam susu pada muka bayi kerap muncul selepas sesi menyusu badan dan walaupun ia kelihatan sedikit mengganggu, keadaan ini sebenarnya tidaklah membimbangkan.
Namun, sebagai ibu bapa baru tentunya kita mahu kulit si kecil sentiasa sihat dan bebas daripada rasa tidak selesa.
Apa Itu Ruam Susu?
Ruam susu adalah ruam kecil berwarna merah atau merah jambu yang biasanya muncul di pipi, dagu dan kadangkala di dahi bayi.
Ia berlaku apabila kulit bayi terdedah kepada susu atau air liur yang tidak segera dibersihkan. Kulit bayi yang sensitif menjadikan mereka lebih mudah mengalami masalah ini.
Namun, adakah susu ibu punca ruam atau ekzema pada bayi? Sebenarnya, anggapan ini tidak tepat. Dalam perubatan, masalah ini dikenali sebagai ekzema atau dermatitis atopic iaitu jenis dermatitis yang biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak.
Punca-Punca Ruam Susu
1. Kulit Bayi Sensitif
Kulit bayi yang nipis dan halus mudah teriritasi jika terdedah kepada bahan-bahan tertentu seperti susu, peluh atau air liur.
2. Susu Yang Meleleh
Semasa bayi menyusu, susu yang meleleh ke pipi atau dagu boleh meresap ke dalam pori kulit menyebabkan iritasi.
3. Air Liur Berlebihan
Ketika bayi mula memasuki fasa tumbuh gigi, mereka akan menghasilkan lebih banyak air liur. Ini boleh menyebabkan kulit sentiasa lembap yang mencetuskan ruam.
4. Kelembapan dan Panas
Cuaca panas atau kelembapan tinggi boleh mempercepatkan pembentukan ruam susu pada bayi.
Cara Merawat Ruam Susu Pada Muka Bayi
1. Gunakan Krim atau Salap Ekzema Selepas Mandi
Mandikan bayi dengan merendamkan tubuhnya untuk melembapkan kulit sepenuhnya. Bilas dengan air bersih, kemudian sapukan krim ruam susu atau salap ekzema dalam masa tiga minit selepas mandi.
Ini membantu mengekalkan kelembapan pada kulit.
2. Pilih Sabun Bayi Yang Selamat
Gunakan sabun yang bebas pewangi, tidak berwarna dan mengandungi bahan hipoalergenik untuk mengelakkan kerengsaan kulit. Sabun berwarna atau berbau wangi biasanya mengandungi bahan kimia yang boleh memburukkan lagi ekzema.
3. Gunakan Pelembap Kulit
Pilih pelembap hipoalergenik yang lembut, pH seimbang dan mengandungi bahan organik seperti ceramida untuk membantu memulihkan tisu kulit sensitif bayi.
Sapukan pelembap 3-5 minit selepas memandikan bayi. Elakkan juga pakaian yang diperbuat daripada bahan seperti bulu atau sintetik yang boleh mencetuskan kegatalan.
Cara Mencegah Ruam Susu Pada Muka Bayi
1. Lapkan Muka Selepas Menyusu
Setiap kali selepas menyusu, lap muka bayi untuk memastikan tiada sisa susu yang tertinggal.
2. Pastikan Bayi Sentiasa Bersih
Mandikan bayi dengan kerap menggunakan sabun bayi yang lembut dan air suam.
3. Pilih Produk Penjagaan Kulit Yang Sesuai
Gunakan produk penjagaan kulit bayi yang hypoallergenic dan bebas bahan kimia.
4. Kurangkan Pendedahan Kepada Panas
Pastikan bayi sentiasa dalam keadaan selesa dan tidak terlalu panas, terutamanya ketika cuaca panas.
5. Kerap Tukar Kain Lap Bayi
Gunakan kain lap yang bersih setiap kali menyapu air liur atau susu dari muka bayi.
Bayi dengan Ruam Susu: Boleh Ke Terus Menyusu?
Ruam susu bukan berpunca daripada penyusuan susu ibu, jadi menghentikan penyusuan bukanlah penyelesaian yang tepat.
Malah, tindakan ini boleh menyebabkan bayi kekurangan nutrisi penting untuk tumbesaran, seperti protein yang boleh membawa kepada masalah seperti kwashiorkor dan memperburuk ekzema.
Ruam susu biasanya tidak berbahaya dan hilang dalam beberapa hari. Namun, jika ruam bernanah dalam beberapa hari atau menjadi semakin teruk, disertai demam atau bayi kelihatan tidak selesa, segera berjumpa doktor. untuk mendapatkan krim khas atau rawatan yang sesuai, okay?
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penting Ambil Tahu Jenis Krim Yang Disapu Pada Kulit Anak, Jangan Pakai Sapu Saja
Baca juga: 10 Penyebab Ruam Merah Pada Bayi, Rawatan Dan Cara Mengatasi
Baca juga: Demam Campak Bayi (Measles): Punca, Tanda Dan Rawatan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!