Rawat Selesema Dengan 7 Bahan Semulajadi Yang Disarankan Doktor Pakar

Rawat Selesema Dengan 7 Bahan Semulajadi Yang Disarankan Doktor Pakar

Sebagai seorang ibu yang sedang menyusukan bayi, anda pasti khuatir untuk mengambil sebarang ubat-ubatan tika selesema dan batuk kerana takut ia akan memberi kesan pada si manja.

Selesema menyerang lagi. Pasangan menggesa anda untuk mengambil ubat selesema atau melakukan tips mudah bagi merawatnya. Katanya tips ini daripada bahan semulajadi, boleh percaya ke? Lagipun, sebagai seorang ibu yang sedang menyusukan bayi, anda pasti khuatir untuk makan sebarang ubat-ubatan tika selesema kerana takut ia memberi kesan pada si manja.

Usah bimbang! Tips merawat selesema dengan bahan semulajadi amat disarankan oleh doktor pakar kerana keberkesanannya. Anda tidak perlu khuatir lagi kerana 7 bahan semulajadi yang disarankan ini mudah untuk didapati dalam dapur anda. Apa tunggu lagi? Selongkar dapur sekarang dan cari 7 bahan semulajadi ini:

Halia

Menurut University Health News (UHN), halia adalah tumbuhan herba yang secara semulajadi mampu menangani masalah selesema, muntah dan loya kerana keberkesanannya menghilangkan rasa sejuk dalaman.

Cara merawat: Ketuk halia dan masukkan  ke dalam minuman panas atau air limau atau amalkan minum teh halia.

Perhatian: Jika anda mengambil ubat-ubatan untuk darah tinggi, diabetes, atau kolesterol, sila dapatkan nasihat pakar sebelum menggunakan halia bagi merawat selesema.

Sup Ayam

Nampaknya bebelan ibu anda ada betulnya! Healthline melaporkan sup ayam mampu mengurangkan jangkitan pernafasan seperti selesema kerana ia memperlahankan pergerakan neutrofil dalam badan. Neutrofil adalah sejenis sel darah putih yang membantu melindungi badan anda.

Cara merawat: reneh sup ayam dengan sayur-sayuran segar, lalu makan ketika panas.

whatsapp-image-2017-02-03-at-4-08-25-pm

Air Masak

Dr William Schaffner, Pengerusi Pencegah Perubatan Vanderbilt University School of Medicine di Nashville menasihatkan penghidap selesema agar minum air masak dengan mencukupi. Selesema mampu mengakibatkan badan anda kehilangan air. Air masak boleh menstabilkan kembali suhu badan anda.

Cara merawat: Minum air masak dengan secukupnya atau gantikannya dengan jus buah-buahan. Elakkan daripada minum kafein atau minuman beralkohol!

Madu

Madu ternyata amat berkhasiat dalam menangani pelbagai penyakit kerana bersifat – antibakteria dan anti-mikrob. Kajian yang diterbitkan Pediatrics melaporkan madu mampu mencair dan mengeringkan kahak malah selesema.

Cara merawat: Campur madu dalam air limau nipis atau teh herba.

Vitamin C

Sistem imun badan anda memerlukan vitamin C untuk menentang jangkitan selesema. Kajian yang diterbitkan oleh Annals of Nutrition and Metabolism menjelaskan vitamin C yang ada dalam limau, oren, lemon, anggur, buah-buahan dan sayur-sayuran lain mampu melegakan jangkitan pada saluran pernafasan. Malah, ia juga boleh menguatkan sistem imun badan agar anda tidak mudah dijangkiti penyakit.

Cara merawat: Masukkan buah lemon dan madu dalam teh panas, lalu nikmati minum petang anda dengan tenang. Beri masa selesema mula berkurang.

Garam

American Journal of Preventive Medicine melaporkan amalan berkumur dengan air garam mampu mencegah jangkitan pada saluran pernafasan dan meringankan sakit tekak. Hal ini kerana air garam boleh mencair dan mengurangkan mukus yang mengandungi bakteria dan virus.

Cara merawat: Masukkan ¼ sudu kecil garam dan ¼ sudu kecil baking soda ke dalam air suam, kacau dan kumur atau masukkan air ke dalam rongga hidung. Pastikan air yang ingin diguna telah dimasak.

Daun Sirih

Daun sirih terkenal dengan pelbagai khasiat untuk mengubati penyakit. Baru-baru ini, kajian membuktikan daun sirih memiliki minyak yang mengandungi phenol  dan dipanggil sebagai chavicol berupaya untuk bertindak sebagai antiseptik.

Cara merawat: Ramas daun sirih sehingga keluar lendir, lalu sapukan lendir pada batang hidung atau rendam dan lenyekkan daun sirih dalam minyak biji sawi lalu sapukan pada dada.

Nota penting: Selain itu, anda juga digalakkan untuk mandi dengan air panas atau air suam bagi melembapkan dinding mukosa hidung lalu mencairkan hingus. Menurut petua kaum Cina pula, elakkan daripada minum susu lembu ketika selesema kerana susu lembu mampu memekatkan kahak.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Ayu Idris

app info
get app banner