Kini, anda dan pasangan sudah bersedia untuk mempunyai cahaya mata. Namun, ada kalanya ia tidak semudah yang disangka dan pastinya penantian adalah satu penyeksaan, bukan?
Sememangnya rezeki untuk memiliki zuriat adalah bergantung kepada perancangan Tuhan, tetapi sebagai manusia biasa, anda perlu berusaha dan berikhtiar sebagai cara agar cepat hamil. Umumnya, terdapat beberapa perubahan pada amalan gaya hidup seharian yang dapat membantu meningkatkan kesuburan anda dan pasangan.
Antara petua cepat hamil yang boleh dicuba adalah:
1. Pemeriksaan kesihatan
Apa kata sebelum anda merancang untuk mengandung, lakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Tanyakan kepada doktor mengenai vitamin mengandung pranatal yang mengandungi asid folik, berfungsi melindungi daripada beberapa kecacatan kelahiran, seperti spina bifida.
Asid folik amat penting untuk peringkat awal kehamilan, disebabkan itu mustahak untuk memastikan anda mendapat cukup asid folik sebelum berbadan dua.
2. Hentikan penggunaan kawalan kelahiran
Sudah tentu, jika ingin mengandung, anda perlu berhenti menggunakan sebarang alat kawalan kehamilan, termasuklah kondom. Ini kerana terdapat kemungkinan anda memerlukan masa untuk mendapatkan tahap kesuburan kembali.
Selalunya ia bergantung kepada jenis kawalan pencegahan kehamilan yang digunakan. Secara umumnya, kesuburan diri akan kembali pada kitaran ovulasi yang seterusnya setelah anda menghentikan penggunaan kawalan kehamilan. Terdapat juga kemungkinan, kitaran ovulasi mungkin tidak teratur pada permulaan tetapi jangan terkejut bahawa anda turut berpeluang untuk hamil!
3. Berhenti merokok
Merokok sememangnya tidak membawa kebaikan waima kepada lelaki mahupun perempuan, bahkan ia boleh mengurangkan kesuburan. Ia juga tabiat berbahaya kepada bayi jika anda masih merokok ketika hamil.
4. Bersenam
Kekal cergas adalah antara cara agar cepat hamil yang boleh dicuba kerana ia membantu meningkatkan kesuburan. Jika anda bukan kaki bersenam, mulakan dengan melakukan lebih banyak gerakan dalam kehidupan seharian anda.
Contohnya, memilih untuk menaiki tangga dan bukannya lif. Anda juga boleh bergembira dalam kelas tarian atau berjoging bersama pasangan.
Tetapi jangan berlebihan. Ini kerana wanita yang bersenam dengan kuat seperti atlet profesional ada kalanya mengalami gangguan kitaran haid dan menjejaskan kesuburan.
5. Diet sihat
Pemakanan dan kesuburan saling berkaitan. Jika kalian mengikuti diet pemakanan yang seimbang, ia dipercayai dapat meningkatkan peluang anda untuk hamil. Dapatkan nasihat pakar mengenai pemakanan yang bersesuaian untuk mereka yang merancang memiliki cahaya mata.
6. Elakkan alkohol
Alkohol boleh membahayakan kesihatan bayi jika anda minum setelah mengandung. Ini terutamanya pada fasa-fasa awal sebelum anda menyedari diri sedang berbadan dua! Pengambilan minuman ini secara berlebihan turut boleh mengurangkan kesuburan lelaki. Jadi sebaiknya, jika merancang untuk mempunyai anak, elakkan minuman beralkohol.
7. Seks secara berkala
Sudah pasti untuk mengandung, anda perlu melakukan seks. Itu kunci utama! Jadi sebaiknya lakukan secara kerap terutamanya ketika tempoh ovulasi.
Melakukan seks bersama pasangan antara 2 hingga 3 hari sekali sudah cukup baik untuk meningkatkan peluang kehamilan anda. Tetapi jangan bersama dalam keadaan terpaksa kerana cuma akan menambahkan tekanan dan menyukarkan lagi peluang anda! Jika berada dalam keadaan penat, elakkan.