Setiap perkembangan bayi dan anak adalah unik, dan mereka membesar mengikut keupayaan masing-masing. Di bawah ini adalah jadual panduan untuk anda mengetahui tahap pencapaian perkembangan anak, atau turut dikenali sebagai milestone bayi, yang akan dicapai dalam tahun pertama si kecil anda.
Jom sama-sama kita semak! Jangan lupa untuk klik pada milestone bayi mengikut usia anak anda ya! 😉
Isi Kandungan
Tahap perkembangan bayi baru lahir hingga 6 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 1 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 2 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 3 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 4 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 5 bulan
- Panduan lengkap: Perkembangan dan milestone anak anda yang berusia 6 bulan
Tahap perkembangan bayi 7-12 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 7 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 8 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 9 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 10 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 11 bulan
- Panduan lengkap: Tumbesaran dan milestone anak anda yang berusia 12 bulan
Apa yang perlu buat jika anak tidak mengikut jadual milestone bayi?
1. Berjumpa dan berbincang dengan doktor keluarga anda
Kita sebagai ibu dan ayah paling mengenali dan arif tentang perkembangan bayi dan perilaku anak kita.
Jadi sekiranya ibu dan ayah berpendapat perkembangan anak terlewat dari usianya seperti cara bermain, belajar, bergaul, kebolehan bertutur dan masalah dalam pergerakkannya, ibu dan ayah boleh berjumpa dan meluahkan segala masalah serta kerisauan kepada doktor atau pakar kanak-kanak.
Jangan tangguh sekiranya milestone bayi lambat daripada biasa. Rawatan dan terapi awal sangat membantu mempengaruhi kehidupan anak anda pada masa hadapan.
2. Bawa anak anda untuk menjalani saringan perkembangan (developmental screening)
American Academy of Pediatrics menyarankan bayi atau kanak-kanak menjalani ujian saringan umum menggunakan alatan khas yang telah diseragamkan pada usia mereka iaitu pada 9, 18 atau 30 bulan.
Manakala untuk saringan bagi autism disyorkan dilakukan pada usia mereka 18 atau 24 bulan atau bila-bila masa sekiranya ibu dan ayah atau penjaga merasa ada kebimbangan terhadap perkembangan anak mereka.
3. Minta rujukan untuk berjumpa pakar
Sekiranya anda atau doktor berpendapat milestone anak mungkin berbeza dan terlewat, minta doktor untuk membuat rujukan untuk berjumpa pakar yang bertauliah dalam bidang perkembangan tersebut supaya penilaian dan ujian yang lebih teliti boleh dilakukan.
Berikut antara pakar yang boleh dibawa ibu dan ayah:
- Pakar perkembangan pediatrik: Doktor ini merupakan pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak dan kanak-kanak berkeperluan khas (children with special needs).
- Pakar saraf kanak-kanak: Doktor ini merupakan pakar dalam bidang otak, tulang belakang dan saraf.
- Pakar psikologi atau pakar psikiatri kanak-kanak: Doktor ini pakar dalam bidang minda manusia.
Pakar pakar ini dapat membantu menilai perkembangan bayi dengan lebih baik dan memberi ibu dan ayah nasihat yang mereka perlukan agar anak membesar dengan cemerlang.
4. Lakukan penilaian
Sementara menunggu doktor untuk merujuk anak anda berjumpa dengan pakar, anda bolehlah menghubungi pusat yang berkaitan atau hospital di kawasan anda dan bertanya sekiranya anak anda layak untuk mendapatkan perkhidmatan penilaian secara percuma dan mendapatkan perkhidmatan intervensi.
Anda tidak perlu menunggu rujukan doktor atau dianogsis perubatan untuk membuat panggilan ini.
Aktiviti/mainan untuk merangsang milestone bayi
Milestone bayi bermula dari sebelum mereka lahir.
“Sistem saraf kanak-kanak mula terbentuk pada minggu pertama kehamilan dan pada asasnya sudah ada pada masa ibu mencapai empat minggu kehamilan,” kata Adiaha Spinks-Franklin, MD, pakar pediatrik tingkah laku perkembangan di Texas Children’s Hospital di Houston. “Dan menjelang 17 minggu janin boleh mendengar.”
Merancang dan melakukan aktiviti bersama bayi mampu merangsang pertumbuhan mereka. Pelbagai kemahiran boleh diasah ketika melakukan aktiviti bersama bayi anda. Berikut merupakan sebahagian daripada bidang perkembangan bayi yang harus anda teliti dan perhatikan:
- Kemahiran motor – Ia adalah keupayaan melakukan pergerakkan otot yang telah ditetapkan.
- Pendengaran – Kemampuan bayi anda dalam mengenalpasti bunyi.
- Penglihatan – Kemampuan bayi dalam membezakan warna, bentuk dan corak.
- Komunikasi – Bayi akan belajar cara berkomunikasi dengan cara merepek atau mengajuk sesuatu bunyi.
Berikut merupakan beberapa aktiviti yang boleh anda lakukan bersama si manja anda:
1. 0 hingga 6 bulan
Pada usia bayi 0-3 bulan bayi mudah tertarik kepada objek yang mempunyai kontras warna yg berbeza seperti hitam putih. Fokus kepada mainan yang berwarna hitam putih ini bagi merangsang visual mereka.
Pada usia ini juga bayi suka disentuh, dipeluk dan digeletek. Semasa menukar lampin si manja, anda boleh mengambil peluang melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka. Antaranya mengurut bayi secara lembut, menyanyi atau mengeletek kaki comel mereka.
Selain itu bermain dengan mainan yang mengeluarkan bunyi atau bergerak juga mampu merangsang pendengaran dan menguatkan otot leher mereka untuk melihat mainan yang sedang bergerak.
2. 6 hingga 12 bulan
Lazimnya pada usia ini bayi telah belajar untuk makan. Tahukah anda semasa mereka menyepahkan makanan sebenarnya ia membantu si manja dalam menyesuaikan diri dengan perkara baru.
Membiarkan makanan di atas wajah dan tangan mampu merangsang deria sentuhan yang baik untuk mereka. Ia juga merupakan galakkan untuk mereka menghidu dan menyentuh makanan tersebut kerana sifat bayi yang penuh dengan rasa ingin tahu. Ibu juga boleh memberi makanan yang berbeza tekstur dan rasa kepada mereka.
Pada usia ini juga bayi sudah mampu untuk duduk sendiri tanpa bantuan ibu dan ayah. Berikan mereka mainan yang mengalakkan mereka untuk duduk seperti bermain baling dan sambut bola atau permainan yang boleh dipegang dan digolekkan seperti kereta mainan.
3. 12 hingga 18 bulan
Si manja sudah boleh berjalan dan meneroka persekitaran di sekitarnya. Pada berjalan di taman, biarkan anak anda untuk berhenti dan menghidu bau bunga-bungaan.
Sekiranya mereka menemani anda di dapur, biarkan mereka menghidu bauan rempah ratus serta herba yang ada di dapur anda. Pastikan anda pantau aktiviti ini supaya mereka tidak tersedut rempah tersebut ke dalam rongga hidung mereka.
4. 18 hingga 24 bulan
Pada usia ini anak anda sudah mula pandai berbicara atau membuat bising pada usia ini. Biarkan mereka membantu anda mengadun adunan ketika anda membakar kek atau membuat biskut.
Selain itu anda juga boleh melakukan aktiviti ini untuk merangsang perkembangan bayi anda:
- Bayi dan kotak
Bermain dengan kotak sangat menyeronokkan. Tidak perlu beli kotak yang menarik tetapi anda boleh menggunakan kotak yang ada disekitar rumah anda seperti kotak kasut atau kotak bijirin. Balut kotak tersebut dengan menggunakan surat khabar lama atau kertas pembalut.
Biarkan bayi mengoyak pembalut tersebut. Mereka akan suka mendengar bunyi kertas pembalut terkoyak, menikmati aktiviti menyusun kotak, mengetuk kotak dan mengolekkan kotak tersebut. Aktiviti ini sangat baik dalam merangsang perkembangan motor mereka.
- Aktiviti meneroka wajah
Bayi gemar meneroka dunia melalui aktiviti sentuhan. Biarkan mereka menyentuh wajah anda dan dalam masa yang sama ambil tangan mereka dan bagi mereka menyentuh wajah mereka sendiri pula.
Selain itu, semasa mereka menyentuh bahagian wajah tertentu ajar mereka nama-nama anggota tersebut seperti hidung, bibir, mata dan sebagainya. Selain itu tunjukkan perbezaan antara wajah manusia dengan boneka haiwan mereka.
- Aktiviti menguji tekstur
Apabila bayi sudah mula merangkak dan bergolek, letakkan selimut atau permaidani yang mempunyai perbezaan tekstur untuk mereka terokai. Selain itu bagi mereka menyentuh permukaan batu, pasir, rumput atau daun dan rasai perbezaan tekstur objek tersebut.
- Aktiviti pilih di antara tiga
Biarkan bayi fikir mainan mana yang paling menarik bagi mereka. Tawarkan beberapa pilihan boneka atau permainan dan biarkan mereka membuat pilihan. Aktiviti ini merangsang kemahiran berfikir dan membuat keputusan mereka.
- Bermain permainan lucu atau bodoh (Silly stuff)
Apa yang lagi berharga selain melihat si manja tertawa riang? Ia bukan sahaja baik untuk jiwa anda malahan juga membantu mengembangkan sifat humor yang penting dalam perkembangan komunikasi manusia. Apa sahaja aktiviti yang membuatkan si manja anak ketawa riang lakukannya berulang-ulang.
Gunakan objek seperti cermin mata besar yang lucu, topeng muka mahupun rambut palsu asalkan bayi anda tertawa. Selain itu boleh melakukan mimik muka yang lucu kepada bayi anda.
Semoga bermanfaat.
Centers for Disease Control and Prevention, Parkland Children’s Academy, Family Education, New Health Advisor
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tutorial Cara-Cara Untuk Ajar Dan Buat Anak Anda Meniarap (Dengan Gambar)
Baca juga: 13 Tips Ajar Anak Bercakap Dengan Cepat & Berkesan, Ibu Ayah Baru Wajib Tahu!