Ketika menerima berita diri sedang hamil, wanita akan lebih berjaga-jaga dalam setiap perkara yang ingin dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi termasuklah keguguran. Tanda keguguran awal kehamilan mungkin tidak nampak justeru ia boleh berlaku tanpa diduga.
Biasanya, kebanyakan kes keguguran ketika hamil berlaku di trimester pertama. Menurut kajian, ia berlaku dalam kira-kira 10 peratus kehamilan yang diketahui dan terjadi sebelum kandungan mencecah usia 12 minggu.
Ssemakin meningkat usia kandungan seseorang, semakin kurang risikonya untuk mengalami keguguran. Ketahui dengan lebih lanjut mengenai keguguran ketika hamil, tanda tanda keguguran, cara penjagaan selepas gugur dan banyak lagi info penting.
5 Tanda Keguguran Awal Kehamilan
Sebanyak 80 peratus keguguran berlaku pada trimester pertama.
Apabila keguguran berlaku dalam lima minggu pertama selepas persenyawaan, ia dipanggil “kehamilan kimia.” Ia terlalu awal sehingga anda mungkin tidak tahu anda hamil.
Menurut kajian, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kandungan gugur dan selalunya ia berbagai dan bertindih.
Antaranya termasuklah:
- Masalah genetik: Masalah genetik merangkumi 40-45% dari sebab keguguran yang berlaku pada wanita hamil. Embrio terhasil dari persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin.
- Penyakit ibu: Contohnya seperti kencing manis yang tidak terkawal, masalah struktur dalam rahim sehingga menjejaskan kandungan.
- Kuat merokok atau mengambil dadah terutamanya kokain
Untuk bakal ibu atau anda yang berhasrat untuk mempunyai cahaya mata, apa kata anda kenalpasti beberapa tanda keguguran awal kehamilan ini:
#1. Tanda Keguguran Awal Kehamilan: Keluar pendarahan yang banyak
Ketika di awal kehamilan, anda perlu perhatikan tompok dan pendarahan yang keluar. Ia adalah perkara biasa dan selalunya tidak berbahaya. Walaupun pendarahan tidak semestinya tanda keguguran, namun jika ia berlaku dengan sangat banyak dan kerap ia boleh menjadi berbahaya dan membawa kepada tanda gugur.
Pendarahan yang berlaku semasa keguguran tidak selalu kelihatan sama. Boleh jadi ia berwarna merah jambu muda atau merah, coklat atau hitam dan berketul, atau kelihatan seperti haid biasa.
#2. Tanda Keguguran Awal Kehamilan: Rasa sakit atau kejang
Antara tanda keguguran awal kehamilan lain juga boleh diketahui apabila anda terasa sakit atau tidak selesa yang melampau.
Anda mungkin mengalami kekejangan pada pelvis, sakit perut yang berterusan, sakit pada bawah belakang atau tisu keluar dari faraj.
Rasa sakit ini mungkin berterusan sehingga beberapa hari sebelum atau selepas pendarahan terjadi. Kekejangan yang kuat boleh menjadi satu tanda keguguran.
#3. Gejala kehamilan hilang
Biasanya, di trimester awal kehamilan, wanita akan mengalami beberapa gejala biasa termasuklah morning sickness seperti loya dan muntah serta terasa sakit-sakit belakang.
Namun, jika badan anda terasa seolah-olah kembali normal seperti mabuk, loya, letih, rasa muntah-muntah dan sakit belakang sudah tiada, maka itu juga mungkin menjadi tanda tanda keguguran tanpa sedar.
#4. Ujian kehamilan bertukar dari positif kepada negatif
Jika ujian diambil pada dua hari berturut-turut dimana hari pertama mendapat ujian positif dan kembali kepada negatif pada hari kedua, ia bukan sahaja menjadi tanda keguguran, malah ia mungkin juga menjadi tanda kehamilan luar rahim, ektopik.
#5. Tubuh terasa lemah serta demam
Ini juga mungkin boleh menjadi tanda tanda keguguran tanpa sedar. Badan anda terasa lebih letih, lemah berbanding biasa malah anda juga mungkin demam akibat keguguran yang dialami.
Siapa yang Berisiko Alami Keguguran?
Walaupun mana-mana wanita sahaja boleh mengalami keguguran, namun ada kumpulan wanita yang lebih berisiko untuk alami keguguran awal kehamilan atau darah gugur 5 minggu.
Antaranya termasuklah:
- Wanita berusia: Wanita yang lebih tua lebih cenderung untuk mengandung bayi dengan kelainan kromosom dan akibatnya janin keguguran 5 minggu ataupun sebelum itu ataupun bahkan mungkin selepas 5 minggu. Malah, kandungan mereka yang berumur 40 tahun adalah kira-kira dua kali lebih berisiko untuk gugur berbanding mereka yang berumur 20 tahun.
- Ada sejarah keguguran: Wanita yang mengalami dua atau lebih keguguran secara berturut-turut lebih berisiko untuk gugur lagi.
- Alami penyakit kronik: Diabetes yang tidak dikawal dengan baik, gangguan autoimun (seperti sindrom antifosfolipid) dan gangguan hormon (seperti sindrom ovari polikistik) adalah beberapa keadaan yang boleh meningkatkan risiko keguguran pada wanita hamil.
- Ada masalah rahim atau serviks: Wanita yang mempunyai keabnormalan rahim kongenital tertentu, masalah rahim atau serviks yang lemah atau tidak normal meningkatkan kemungkinan keguguran.
- Ada sejarah kecacatan kelahiran atau masalah genetik: Jika anda, pasangan anda atau ahli keluarga mempunyai kelainan genetik, telah dikenal pasti dalam kehamilan sebelumnya, atau telah melahirkan anak dengan kecacatan kelahiran, anda berisiko lebih tinggi untuk mengalami keguguran.
- Jangkitan: Kajian telah menunjukkan bahawa risiko gugur adalah agak tinggi jika anda menghidapi listeria, beguk, rubella, campak, sitomegalovirus, parvovirus, gonorea, HIV dan jangkitan lain yang tertentu.
- Perokok, minum alkohol dan ambil dadah: Merokok, minum alkohol dan menggunakan dadah seperti kokain dan ekstasi semasa mengandung boleh meningkatkan risiko anda untuk keguguran. Beberapa kajian menunjukkan bahawa tahap penggunaan kafein yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko keguguran.
- Pengambilan ubat tertentu: Sesetengah ubat telah dikaitkan dengan peningkatan risiko keguguran, jadi adalah penting untuk bertanya kepada doktor anda terlebih dahulu tentang keselamatan sebarang ubat yang anda ambil, walaupun semasa anda masih cuba untuk hamil.
- Toksin alam sekitar: Faktor persekitaran yang mungkin meningkatkan risiko anda untuk gugur termasuklah plumbum; arsenik; beberapa bahan kimia, seperti formaldehid, benzena, dan etilena oksida; dan dos sinaran atau gas anestetik yang banyak.
- Obesiti: Ada kajian menunjukkan bahawa wanita yang obesiti lebih berisiko untuk mengalami keguguran.
- Masa yang singkat antara kehamilan: Risiko keguguran anda lebih tinggi jika anda hamil dalam tempoh tiga bulan selepas bersalin.
Apa Perlu Dibuat Selepas Dapat Tahu Keguguran
Keguguran semestinya akan menyedihkan hati setiap wanita yang mengalaminya. Anda mungkin rasa seperti tidak percaya dengan apa yang telah berlaku dan tidak tahu cara bagaimana atau apa yang perlu dibuat selepas dapat tahu mengenainya.
Jadi, ini kami kongsikan beberapa perkara yang anda harus buat selepas dapat tahu diri anda gugur:
- Kosongkan kembali rahim seperti yang mungkin telah dijelaskan oleh doktor anda.
- Ketahui komplikasi yang akan berlaku (walaupun jarang). Dapatkan nasihat daripada doktor anda ya.
- Perhatikan pendarahan anda. Jika anda terus mengalami pendarahan selama lebih daripada tujuh hari, pendarahan yang berlebihan ini boleh memberi isyarat bahawa masih terdapat tisu plasenta dalam rahim atau anda telah mengalami jangkitan. Tanda-tanda jangkitan lain boleh termasuk lelehan berbau busuk, demam, menggigil dan sakit perut. Jika doktor mengesyaki ada berlakunya jangkitan, anda mungkin akan diberikan antibiotik.
- Berpantang selepas keguguran untuk memulihkan rahim dan menambahkan tenaga akibat keguguran
- Jaga emosi anda. Jangan rasa bersalah atau marah pada diri sendiri atas apa yang telah berlaku. Ingat, tidak ada sesiapa yang inginkan perkara itu daripada terjadi.
Penjagaan Selepas Keguguran
#1. Tempoh berpantang
Mengikut nasihat bidan dan petua orang dulu-dulu, tempoh berpantang bagi wanita keguguran adalah sama seperti pantang bersalin iaitu 44 hari. Namun, anda juga boleh sahaja berpantang selama 2 minggu atau mengikut tempoh cuti yang diberikan oleh doktor. Sila pastikan anda rehat secukupnya dalam tempoh berpantang ini ya.
#2. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
Anda boleh juga mengamalkan pantang larang ibu bersalin dan sediakan makanan berpantang yang dilengkapi dengan sayur-sayuran serta buah-buah yang sesuai. Diet yang seimbang penting untuk memberi tenaga kepada badan anda selepas keguguran.
#3. Hadkan aktiviti harian
Ketika berpantang, kurangkan aktiviti harian anda dan jangan lakukan sebarang aktiviti berat sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan selepas keguguran. Namun, anda tetap boleh kembali bekerja selepas tempoh bercuti tamat.
#4. Jaga rahim anda
Pastikan rahim anda dibersihkan dengan sempurna bagi mengelakkan toksin masuk ke dalam sistem tubuh dan menyebabkan demam panas dan jangkitan di bahagian peranakan. Anda disarankan untuk berurut, bertungku atau mandi herba seperti ibu pantang bersalin.
#5. Elak hubungan seks
Rehat seketika daripada melakukan hubungan intim dengan suami. Ibu juga dinasihatkan supaya tidak memasukkan apa-apa bahan (tampon) atau douching selama 2 minggu. Biasanya, doktor turut akan menasihatkan anda untuk tunggu 2-3 bulan sebelum cuba mengandung lagi.
Dalam pada itu, kebanyakan ibu yang mengalami keguguran di awal kehamilan tidak memerlukan rawatan, baik rawatan perubatan biasa atau pembedahan. Jika keguguran berlaku sebelum minggu ke-13 dan keadaan ibu tidak teruk contohnya tumpah darah tidak terlalu banyak atau dijangkiti kuman, pemerhatian sahaja sudah cukup.
Semoga bermanfaat!
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Simptom Keguguran Setiap Ibu Mengandung Kena Tahu, Waspada Jika Ada Tanda-Tanda Ini
Baca juga: Wajib Mandi Wiladah Selepas Bersalin Czer Atau Keguguran, Ramai Ibu Tidak Tahu, Ini Caranya!
Baca juga: Perut Sakit & Keluar Darah Ketika Hamil? Hati-Hati, Ia Mungkin Tanda Keguguran!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!