Buah pinggang memiliki peranan penting dalam tubuh manusia. Jika terdapat sebarang gangguan pada organ ini, ia boleh memberikan impak besar terhadap kesejahteraan tubuh badan. Adalah penting mengetahui beberapa tanda sakit buah pinggang tahap 1 bagi membolehkan anda mendapat rawatan dengan segera.
Tanda Sakit Buah Pinggang Tahap 1
Sakit buah pinggang tahap 1 adalah dikenali sebagai penyakit buah pinggang kronik (CKD) peringkat awal. Pada peringkat ini, fungsi buah pinggang berkurang sedikit tetapi tidak cukup untuk menyebabkan gejala yang ketara.
Walau bagaimanapun, jika ia tidak dirawat dengan betul, ia boleh berkembang ke tahap yang lebih serius dan menyebabkan kegagalan buah pinggang.
Walaupun pada tahap awal ini gejala penyakit buah pinggang tidak begitu jelas, terdapat beberapa tanda yang boleh menjadi petunjuk bahawa seseorang itu mungkin mengalami masalah buah pinggang.
Antara tanda sakit buah pinggang tahap 1 adalah:
1. Kerap Buang Air Kecil
Salah satu tanda sakit buah pinggang tahap 1 adalah perubahan dalam corak pembuangan air kecil.
Individu yang mengalami sakit buah pinggang tahap 1 mungkin akan mengalami peningkatan kekerapan buang air kecil, terutama kencing waktu malam (nocturia).
Ini terjadi kerana buah pinggang yang berfungsi dengan kurang baik mungkin tidak dapat menapis cecair dengan efisien, menyebabkan tubuh menghasilkan lebih banyak air kencing.
2. Pembengkakan Tubuh
Pembengkakan, terutama di kawasan kaki, pergelangan kaki, tangan, atau muka, boleh menjadi petunjuk bahawa buah pinggang tidak berfungsi dengan baik.
Apabila buah pinggang tidak dapat menyingkirkan lebihan cecair dari badan, ia menyebabkan penumpukan cecair yang mengakibatkan pembengkakan. Pembengkakan ini biasanya lebih ketara pada waktu pagi setelah bangun tidur.
3. Cepat Letih
Tanda sakit buah pinggang tahap 1 adalah cepat letih dan tubuh lemah.
Keletihan yang luar biasa adalah gejala lain yang boleh berlaku pada tahap awal sakit buah pinggang. Apabila fungsi buah pinggang terganggu, tahap toksin dalam darah akan meningkat, yang boleh menyebabkan keletihan kronik dan perasaan lemah.
Kekurangan sel darah merah (anemia) yang sering terjadi bersama masalah buah pinggang juga boleh menyebabkan seseorang merasa cepat penat atau letih tanpa sebab yang jelas.
4. Perubahan Warna Air Kencing
Air kencing yang berubah warna adalah tanda lain yang perlu diberi perhatian. Pada tahap 1 penyakit buah pinggang, air kencing mungkin kelihatan keruh atau berbuih.
Jika air kencing berwarna gelap seperti teh, ini mungkin menandakan adanya darah atau protein dalam air kencing yang tidak dapat ditapis dengan baik oleh buah pinggang. Warna air kencing yang aneh perlu diperiksa oleh doktor secepat mungkin.
5. Sakit Bahagian Pinggang atau Punggung
Tanda sakit buah pinggang tahap 1 yang lain adalah kesakitan pada pinggang atau punggung.
Sakit buah pinggang pada tahap awal mungkin tidak begitu jelas, tetapi individu yang mengalami masalah buah pinggang kadangkala merasakan ketidakselesaan atau sakit ringan di bahagian belakang atau pinggang, di sekitar kawasan buah pinggang.
Sakit ini tidak selalu teruk, tetapi jika berlarutan, ia boleh menjadi petunjuk bahawa ada masalah pada buah pinggang.
6. Loya atau Muntah
Toksin yang terkumpul dalam darah akibat kegagalan buah pinggang untuk menapis dengan betul boleh menyebabkan rasa loya dan muntah.
Gejala ini biasanya terjadi apabila penyakit buah pinggang sudah mencapai tahap yang lebih serius, tetapi ia boleh juga berlaku pada peringkat awal, terutama apabila buah pinggang mula berfungsi dengan kurang baik.
7. Tekanan Darah Tinggi
Tanda sakit buah pinggang tahap 1 juga boleh dilihat melalui tekanan darah.
Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, tekanan darah boleh meningkat. Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah masalah yang biasa di kalangan mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang, dan ia juga boleh menjadi punca atau akibat daripada penyakit buah pinggang.
Punca Penyakit Buah Pinggang Tahap 1
Penyakit buah pinggang tahap 1 boleh disebabkan oleh:
-
Tekanan darah tinggi (merosakkan salur darah dalam buah pinggang)
-
Diabetes (terutamanya jika tidak terkawal)
-
Glomerulonefritis (radang pada unit penapisan buah pinggang)
-
Penyakit buah pinggang polisistik (berpunca dari genetik)
-
Halangan saluran kencing (contohnya batu karang, pembesaran prostat)
-
Penyakit autoimun (seperti lupus)
-
Penggunaan ubat tertentu secara kerap, seperti NSAIDs
-
Jangkitan atau pendedahan kepada bahan toksik (logam berat, sesetengah herba)
Kadang-kadang penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala, dan hanya dikesan semasa pemeriksaan air kencing atau darah rutin.
Faktor Risiko Sakit Buah Pinggang Tahap 1
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami penyakit buah pinggang tahap 1.
Antara faktor risiko sakit buah pinggang tahap 1 adalah:
1. Diabetes
Diabetes yang tidak terkawal adalah penyebab utama penyakit buah pinggang. Gula darah yang tinggi boleh merosakkan pembuluh darah kecil di buah pinggang, menyebabkan kerosakan.
2. Hipertensi (tekanan darah tinggi)
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah di buah pinggang dan mengurangkan fungsinya.
3. Sejarah Keluarga
Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit buah pinggang lebih berisiko untuk mengalaminya.
4. Penyakit Jantung
Penyakit jantung boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kerana kedua-duanya berkait rapat dalam mengawal aliran darah.
5. Merokok
Merokok boleh memperburuk kerosakan buah pinggang dengan merosakkan saluran darah.
6. Pengambilan Diet Tidak Sihat
Makanan tinggi garam, gula, dan lemak boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.
Makanan Yang Perlu Dielakan
Antara yang perlu dielakkan atau dikurangkan:
1. Makanan Tinggi Garam (Sodium)
Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah dan memberi tekanan tambahan kepada buah pinggang. Ini boleh mempercepatkan kerosakan buah pinggang dalam jangka masa panjang.
Contoh: Mi segera, makanan dalam tin, jeruk, kerepek, sosej, kicap, dan sos tiram.
2. Protein Diambil Berlebihan
Walaupun protein penting untuk tubuh, pengambilan yang terlalu banyak boleh membebankan buah pinggang kerana ia perlu menapis hasil buangan metabolisme protein.
Contoh: Daging merah dalam jumlah besar, telur dalam kuantiti berlebihan, ayam goreng berempah, dan serbuk protein (protein shake).
3. Makanan Dan Minuman Tinggi Fosforus
Fosforus yang berlebihan boleh mengganggu keseimbangan mineral dalam badan dan memberi kesan negatif kepada kesihatan tulang dan jantung jika tidak ditapis dengan baik oleh buah pinggang.
Contoh: Keju diproses, susu penuh krim, minuman bergas jenis gelap (cola), organ dalaman haiwan (hati, limpa), dan makanan laut bercengkerang.
4. Makanan Tinggi Kalium (Potassium)
Pesakit dengan fungsi buah pinggang yang mula terjejas perlu berhati-hati dengan kalium kerana paras yang terlalu tinggi boleh mengganggu fungsi jantung.
Contoh: Pisang, oren, kentang, tomato, bayam, air kelapa, dan avocado.
5. Makanan Dan Minuman Tinggi Gula
Pengambilan gula yang berlebihan boleh meningkatkan risiko diabetes, yang merupakan antara punca utama kepada kerosakan buah pinggang.
Contoh: Kuih manis (onde-onde, kuih lapis), kek, biskut manis, minuman bergula seperti teh tarik, air gas, dan sirap.
6. Minuman Beralkohol Dan Berkafein
Alkohol dan kafein jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan dehidrasi dan memberi tekanan tambahan kepada buah pinggang untuk berfungsi dengan baik.
Contoh: Arak, bir, kopi yang sangat pekat, minuman tenaga (energy drinks), dan teh pekat.
7. Makanan Diproses Secara Komersial
Makanan seperti yang diproses secara komersial mengandungi banyak bahan tambahan seperti garam, pengawet dan perisa tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang dalam jangka masa panjang.
Contoh: Nugget, burger segera, ayam goreng segera, makanan sejuk beku, dan makanan ringan perisa keju atau daging.
8. Ubat-ubatan Tanpa Nasihat Doktor
Pengambilan ubat seperti NSAIDs (contohnya ibuprofen) secara kerap boleh merosakkan fungsi buah pinggang. Begitu juga dengan sesetengah produk herba yang tidak dikawal selia.
Contoh: Ibuprofen, naproxen, suplemen herba tidak berdaftar, produk tradisional tanpa kelulusan KKM.
Rawatan & Pencegahan
Memandangkan sakit buah pinggang tahap 1 sering kali tidak menunjukkan gejala yang jelas, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara rutin, terutamanya jika anda berisiko.
Beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengawal dan mengurangkan kerosakan buah pinggang adalah:
1. Mengawal Gula Darah dan Tekanan Darah
Bagi individu yang menghidap diabetes atau hipertensi, penting untuk mengawal gula darah dan tekanan darah melalui ubat-ubatan serta perubahan gaya hidup seperti pemakanan yang sihat, senaman, dan pengurangan stres.
2. Mengamalkan Diet Sihat
Makan makanan yang rendah garam, rendah lemak tepu, dan kaya dengan serat boleh membantu mengurangkan beban pada buah pinggang. Makanan yang kaya dengan antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran juga dapat membantu melindungi fungsi buah pinggang.
3. Berhenti Merokok
Merokok boleh memburukkan lagi kerosakan pada buah pinggang. Berhenti merokok bukan sahaja baik untuk buah pinggang tetapi juga untuk kesihatan secara keseluruhan.
4. Minum Air Secukupnya
Minum air yang cukup membantu buah pinggang untuk berfungsi dengan baik dan mengeluarkan bahan buangan dari tubuh. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami masalah buah pinggang, pengambilan air perlu disesuaikan dengan nasihat doktor.
5. Mengurus Berat Badan
Berat badan berlebihan boleh memberi tekanan tambahan pada buah pinggang. Menguruskan berat badan dengan cara yang sihat, seperti melalui diet dan senaman yang teratur, boleh mengurangkan risiko penyakit buah pinggang.
6. Pemeriksaan Rutin
Pemeriksaan darah dan air kencing secara berkala adalah langkah yang penting untuk mengenal pasti penyakit buah pinggang lebih awal. Ujian untuk mengesan kadar penapisan glomerular (GFR) dan tahap protein dalam air kencing adalah antara cara untuk menilai fungsi buah pinggang.
Berapa lama boleh hidup dengan penyakit buah pinggang tahap 1?
Anda boleh hidup dengan jangka hayat yang normal jika menghidap penyakit buah pinggang tahap 1, terutamanya jika ia dikawal dengan baik.
Tahap 1 merupakan bentuk paling ringan bagi penyakit buah pinggang kronik (CKD). Fungsi buah pinggang masih hampir normal (eGFR ≥ 90), tetapi mungkin terdapat tanda-tanda kerosakan (seperti kehadiran protein dalam air kencing).
Jika punca utama dirawat dan perubahan gaya hidup dilakukan (pemakanan sihat, senaman, kawalan tekanan darah dan diabetes), penyakit ini mungkin tidak akan berkembang ke tahap yang lebih serius.
Dengan diagnosis awal dan penjagaan yang betul, kebanyakan orang boleh hidup sihat dan normal sepenuhnya.
Bolehkah Penyakit Ini Dihentikan Pada Tahap 1?
Ya, perkembangan penyakit ini selalunya boleh dihentikan atau diperlahankan pada tahap 1.
Merawat keadaan seperti tekanan darah tinggi dan diabetes adalah sangat penting. Mengamalkan gaya hidup yang mesra buah pinggang (diet rendah garam, kurang makanan diproses, cukup hidrasi) dapat membantu melindungi buah pinggang.
Elakkan pengambilan NSAIDs (seperti ibuprofen) dan merokok juga amat penting. Walaupun kerosakan yang telah berlaku tidak boleh dipulihkan, kerosakan tambahan boleh dicegah sepenuhnya.
Kesimpulannya, tanda sakit buah pinggang tahap 1 sering kali tidak menunjukkan gejala yang jelas, tetapi tanda-tanda seperti pembengkakan, perubahan dalam corak buang air kecil, dan keletihan boleh menjadi petunjuk awal masalah ini.
Pencegahan dan pengesanan awal sangat penting untuk mengelakkan masalah buah pinggang yang lebih serius di masa hadapan.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!