Trimester ketiga kehamilan bermula dari minggu ke-28 hingga bersalin sering dianggap sebagai fasa yang mencabar bagi kebanyakan ibu.
Mana tidaknya, fasa akhir kehamilan ini sering dipenuhi dengan harapan dan keseronokan. Bahkan dalam masa yang sama ibu mula berasa risau dan takut apabila memikirkan proses bersalin nanti.
Dalam artikel ini kami kongsikan panduan lengkap tentang apa itu kandungan trimester 3, apa yang berlaku di trimester ketiga ini dan pemeriksaan doktor semasa hamil trimester ketiga.
Isi Kandungan
Trimester Ketiga Hamil
Apa Itu Kandungan Trimester 3?
Trimester ketiga adalah fasa terakhir kehamilan sebelum bersalin. Pada ketika ini, bayi telah berkembang dengan ketara dan hampir bersedia untuk dilahirkan.
Ibu hamil mungkin mengalami pelbagai perubahan fizikal yang berkaitan dengan pertumbuhan bayi, manakala bayi terus mematangkan organ dan sistemnya sehingga kelahiran.
Untuk anda yang masih keliru dan mempersoalkan trimester ketiga berapa bulan? Trimester ketiga berapa minggu?
Jawapannya, trimester ketiga ini dirujuk sebagai trimester terakhir dan merangkumi minggu 28 sehingga 40 kehamilan – iaitu kira-kira 15 minggu sebelum bersalin.
Apa Yang Berlaku Di Trimester Ketiga Ini?
- Pertumbuhan Bayi: Bayi terus berkembang dengan pesat pada trimester ketiga. Organ penting seperti paru-paru dan otak terus matang, manakala bayi juga mengumpul lebih banyak lemak di bawah kulit untuk mengawal suhu badan selepas lahir.
- Perubahan Fizikal Ibu: Ibu mungkin mengalami penambahan berat badan yang lebih ketara, saiz perut yang lebih besar dan peningkatan keletihan. Edema atau bengkak kaki dan tangan juga mungkin menjadi lebih ketara pada trimester ini.
- Pergerakan Bayi: Walaupun ruang dalam rahim semakin sempit, bayi akan tetap bergerak sendiri. Anda mungkin merasakan pergerakan bayi secara berbeza pada trimester ketiga, tetapi masih penting untuk memantau jumlah pergerakan bayi dan beritahu doktor anda jika terdapat sebarang perubahan mendadak.
- Persediaan untuk Kelahiran: Semasa trimester ketiga, ibu hamil boleh mula merancang persiapan bersalin. Ini mungkin termasuk menyediakan beg hospital, merancang perjalanan ke hospital, dan membincangkan pilihan penjagaan kesihatan semasa kelahiran dengan doktor.
Perubahan Badan Ketika Trimester Ketiga
Semasa trimester ketiga, terdapat banyak perubahan yang akan berlaku disebabkan oleh hormon. Hormon kehamilan akan mula mengendurkan tisu penghubung yang berfungsi memastikan tulang anda berada pada kedudukannya.
Apabila pengenduran ini berlaku pada badan ibu hamil, ia boleh menyebabkan sedikit rasa tidak selesa pada bahagian belakang badan anda.
Ini pula merupakan perubahan badan ibu hamil semasa berada dalam trimester ketiga:
- Kenaikan berat badan.
- Sakit pinggang dan belakang.
- Kontraksi palsu.
- Sesak nafas.
- Pedih ulu hati.
- Bengkak di beberapa bahagian tubuh badan.
- Sering membuang air kecil.
- Braxton Hicks.
Simptom-simptom di atas ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal, namun segera berjumpa doktor sekiranya berlaku tanda bahaya kehamilan trimester 3 berikut:
- Kontraksi berlebihan dan berterusan.
- Pendarahan pada faraj ibu hamil.
- Pembengkakan yang teruk.
- Penurunan berat badan ibu hamil.
- Janin dalam kandungan tidak aktif.
Keputihan Semasa Hamil Trimester Ketiga
Keputihan semasa hamil trimester ketiga adalah normal. Walau bagaimanapun, kadangkala ia juga boleh menjadi tanda masalah yang memerlukan perhatian. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda ketahui tentang keputihan semasa trimester ketiga kehamilan:
- Keputihan Semasa Mengandung Yang Normal: Secara umumnya, keputihan semasa hamil biasanya normal jika tidak disertai dengan gejala lain seperti gatal-gatal, sakit, atau bau yang luar biasa. Keputihan yang normal cenderung berwarna putih atau sedikit kekuningan dan mempunyai konsistensi seperti susu.
- Perubahan Hormon: Semasa mengandung, perubahan hormon boleh meningkatkan pengeluaran lendir dalam faraj, yang boleh menyebabkan keputihan lebih banyak daripada biasa.
- Jangkitan: Keputihan semasa mengandung juga boleh menjadi tanda jangkitan, seperti yis (kulat), jangkitan bakteria, atau jangkitan seksual. Jangkitan ini mungkin perlu dirawat oleh doktor dengan ubat-ubatan yang selamat digunakan semasa kehamilan.
- Bau atau Gatal Luar Biasa: Jika keputihan disertai dengan bau atau kegatalan luar biasa, ini mungkin tanda jangkitan dan perlu dinilai oleh doktor.
- Preeklampsia: Walaupun jarang berlaku, keputihan atau lendir berlebihan yang bercampur dengan darah pada trimester ketiga juga boleh menjadi tanda praeklampsia, iaitu keadaan serius yang menjejaskan tekanan darah dan fungsi organ ibu dan janin.
Ibu perlu berjumpa doktor jika bimbang tentang keputihan yang dialami. Untuk mengurangkan ketidakselesaan, gunakan panty liner dan bersihkan kawasan faraj dengan lembut.
Jika anda memerlukan nasihat lanjut, berjumpa doktor adalah penting untuk mendapatkan penilaian yang betul dan rawatan yang sesuai.
Kedudukan Bayi Dalam Kandungan Semasa Trimester 3
Semasa trimester 3, janin telah mengembangkan tulang yang lengkap dan mula membuka matanya.
Pada sekitar minggu ke 36, sepatutnya bayi telah memasuki posisi kepala ke bawah. Jika tidak, doktor mungkin akan mencuba untuk memutar bayi ke posisi yang betul.
Jika tidak berjaya dan proses bersalin telah berlaku, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan Caesarean (C-Section) untuk proses kelahiran.
Semasa minggu ke-37 kehamilan, janin telah mencapai kematangan penuh dengan organ-organ badannya berfungsi, menandakan bahawa ia sudah bersedia untuk kelahiran.
Pemeriksaan Dengan Doktor
Selalunya, pemeriksaan pranatal dengan doktor menjadi lebih kerap semasa trimester ketiga untuk memantau perkembangan ibu dan bayi.
Beberapa jenis pemeriksaan doktor yang boleh dilakukan termasuk:
- Pemeriksaan Berkala: Doktor akan terus memantau tekanan darah, berat dan pertumbuhan janin pada setiap lawatan pranatal.
- Pemeriksaan Ultrasound: Pemeriksaan ultrabunyi boleh dilakukan untuk mengukur saiz bayi, memeriksa aliran darah plasenta, dan memastikan pertumbuhan janin yang sihat.
- Ujian Diabetes Gestational: Ujian kencing manis semasa mengandung biasanya dilakukan pada trimester kedua, tetapi bagi sesetengah wanita hamil, ujian ini mungkin perlu diulang semasa trimester ketiga untuk memantau paras gula dalam darah.
- Pemeriksaan Kelahiran: Doktor boleh membincangkan rancangan kelahiran dengan wanita hamil dan memberikan maklumat tentang proses kelahiran, termasuk tanda-tanda awal bersalin dan jika perlu, pergi ke hospital.
Kekalkan Tahap Kesihatan Anda
Semasa trimester ketiga, adalah penting untuk terus mengutamakan kesihatan fizikal dan emosi anda. Beberapa petua untuk mengekalkan kesihatan anda semasa trimester ketiga termasuk:
Berikut adalah perkara ibu hamil perlu buat:
- Makan Secara Sihat: Amalkan pemakanan berkhasiat yang kaya dengan vitamin dan mineral penting untuk kesihatan ibu hamil dan perkembangan janin.
- Aktiviti Fizikal yang Sihat: Teruskan aktiviti fizikal yang selamat dan selesa seperti berjalan kaki atau yoga pranatal untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan membantu mengurangkan ketidakselesaan.
- Dapatkan Rehat yang Cukup: Dapatkan rehat dan tidur yang cukup setiap malam. Ibu hamil juga mungkin perlu tidur siang bagi mengurangkan keletihan semasa hamil trimester ketiga.
- Kenali Tanda-tanda Bahaya: Kenali tanda-tanda bahaya jika ada sesuatu yang tidak kena dan jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor dengan segera.
Berikut adalah perkara ibu hamil perlu elak:
Berikut adalah perkara yang perlu dielakkan oleh wanita hamil untuk menjaga kesihatan diri dan bayi mereka:
- Makanan Tidak Masak: Elakkan makan makanan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya dan makanan laut tertentu.
- Tekanan Berlebihan: Stres yang berlebihan boleh meningkatkan risiko komplikasi kehamilan seperti preeklampsia, kelahiran pramatang dan berat lahir rendah.
- Pendedahan X-Ray: Jangan lakukan pemeriksaan X-ray melainkan doktor mengatakan ia adalah perlu.
- Suplemen Herba: Jangan mengambil herba atau suplemen tanpa berunding dengan doktor.
- Ubat Tidak Disyorkan: Jangan mengambil ubat tanpa nasihat doktor, termasuk ubat berasaskan herba.
- Merokok: Jangan merokok atau dekat dengan asap rokok kerana ia boleh membahayakan bayi.
- Dadah Terlarang: Jangan mengambil ubat terlarang kerana ia boleh membahayakan bayi anda dan diri anda sendiri.
- Bahan Kimia Toksik: Jauhi bahan kimia seperti cat dan pembersih rumah yang kuat kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada bayi.
- Kawalan Tempat Kerja: Pastikan tempat kerja tidak membahayakan kesihatan anda dan bayi dengan bahan kimia atau sinaran berbahaya. Gunakan perlindungan diri jika perlu.
Persediaan Bersalin Semasa Kandungan Trimester 3
Mempersiapkan diri untuk kelahiran adalah aspek penting semasa trimester ketiga. Beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mempersiapkan kelahiran termasuk:
- Buat Rancangan Bersalin: Buat rancangan bersalin mengikut keperluan anda semasa proses kelahiran. Bincangkan pelan ini dengan doktor untuk memastikan kelahiran berjalan dengan baik.
- Menghadiri Kursus Bersalin: Pertimbangkan menghadiri kelas antenatal yang ditawarkan oleh hospital atau klinik bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang proses kelahiran dan teknik pengurusan kesakitan semasa bersalin.
- Ketahui Tanda-Tanda Awal Bersalin: Kenali tanda-tanda awal bersalin seperti kontraksi yang konsisten atau pecah air ketuban, dan ketahui bila masa sesuai untuk pergi ke hospital.
- Persediaan Beg Hospital: Sediakan beg hospital dengan lebih awal yang mengandungi pakaian dan peralatan bayi, maklumat perubatan, dan sebarang dokumen penting seperti kad pengenalan dan buku pink.
Senaman Mudah Bersalin
Senaman mudah bersalin dapat membantu melancarkan proses kelahiran. Berikut beberapa jenis senaman untuk mudah bersalin:
- Berjalan: Berjalan adalah senaman yang baik untuk meningkatkan kecergasan dan menguatkan kaki.
- Senaman Kegel: Ini membantu menguatkan otot pelvis, yang penting semasa bersalin.
- Regangan dan Yoga Pranatal: Ini membantu meningkatkan fleksibiliti dan mengurangkan ketegangan otot.
- Senaman Pernafasan: Senaman pernafasan yang tenang membantu memberikan kelegaan semasa bersalin.
- Squats: Berdiri dengan kaki dibuka seluas bahu dan perlahan-lahan turunkan badan ke bawah seolah-olah duduk di atas kerusi. Pastikan lutut tidak melepasi jari kaki anda. Ia menguatkan otot pelvis dan membantu dalam proses kelahiran.
- Jalan Itik: Berjalan dengan langkah pendek dan langkah sisi, meniru pergerakan itik. Ini membantu menguatkan otot pelvis dan meningkatkan keseimbangan.
- Menuruni Tangga: Dengan berhati-hati, naik dan turun tangga membantu menguatkan otot kaki dan pelvis. Pastikan anda memegang pemegang dan bergerak perlahan-lahan.
Walau bagaimanapun, kami mengerti pasti para ibu mula berasa ‘nervous’ dan cemas ketika kandungan trimester ketiga ini kan? Tak mengapa, relaks dan tarik nafas sedalam-dalamnya jika mula berasa cemas, okay?
Berikut antara 9 faktor lain yang membuat trimester ketiga itu menjadi sukar dan menakutkan buat sesetengah ibu hamil di luar sana:
9 Sebab Trimester Ketiga Menjadi Fasa Paling Sukar
#1. Tidak Yakin Dengan Due Date
Sebenarnya due date yang diberikan oleh doktor adalah anggaran kasar tentang tarikh bersalin. Bila waktu sebenar anda akan bersalin tidak akan diketahui oleh sesiapa. Justeru banyakkan berdoa agar proses bersalin dimudah-mudahkan.
#2. Berat badan
Pada trimester ketiga ini, perut anda semakin membesar sekaligus menyebabkan keinginan terhadap makanan juga turut terbatas. Malah pergerakan juga tidak lagi laju apabila sampai ke tempoh ini.
#3. Tahap kesabaran yang menipis
Walaupun anda cuba menahan rasa sabar, tapi bila masuk ke trimester ketiga tahap kesabaran itu semakin menipis. Ada saja perkara yang membuatkan anda hilang sabar walaupun berkaitan dengan hal remeh.
#4. Buasir dan ketidakselesaan perineum
Apabila masuk fasa terakhir ini, sesetengah ibu hamil akan mengalami sembelit hingga menyebabkan ketidakselesaan yang ketara di perineum.
#5. Kegelisahan tentang anggota tubuh
Buasir dan berat badan bukan satu-satunya ketidakselesaan fizikal yang mengganggu kehamilan. Tapi ada masalah lain juga seperti kejang otot, kaki bengkak, masalah pencernaan dan braxton hicks yang menambahkan kegelisahan anda di trimester akhir ini.
#6. Pertanyaan yang berterusan
Walaupun anda berasa cemas dengan tarikh bersalin, namun anda juga akan berasa takut dan pelbagai persoalan akan muncul seperti cara menyusukan bayi, tips penjagaan bayi baru lahir, kaedah tidurkan bayi dan sebagainya. Sekaligus membuatkan fikiran sedikit terganggu.
#7. Insomnia
Tidur malam juga selalu terganggu kerana ketidakselesaan akibat perut yang semakin membesar dan si kecil yang selalu menendang dari dalam perut.
#8. Kerap ke tandas
Perjalanan anda ke tandas juga tidak berkesudahan kerana bayi sudah menekan ke bahagian pundi kencing lalu menyebabkan anda rasa tidak sabar untuk cepat bersalin.
#9. Bosan menunggu
Apabila sudah cukup sembilan bulan atau 40 minggu tentunya ada akan rasa bosan menunggu tarikh melahirkan juga perasaan yang tak sabar untuk menimang cahaya mata. Walau bagaimanapun, tunggu hingga tanda-tanda bersalin muncul supaya dapat mempercepatkan kelahiran bayi dengan sempurna.
Tips Mudah Bersalin
Jika mengikut pengalaman ibu-ibu hamil sebelum ini, berikut merupakan perkara yang dilakukan oleh mereka bagi mempercepatkan lagi proses bersalin (apabila due sudah tiba), serta tips-tips lain yang memudahkan.
Take note ya, ibu-ibu!
- Banyakkan Berjalan Di Trimester Ketiga Waktu inilah anda boleh pergi membeli belah barang keperluan anak dan diri sendiri apabila di hospital atau ketika pantang. Lakukan senaman ringan, turun naik tangga dengan perlahan, duduk atas bola gim, ia juga dapat merawat postur badan.
- Minum Minyak Kelapa Dara & Minyak Zaitun Asli: Ambil 1 sudu pagi dan 1 sudu malam bagi mendapatkan manfaat Vitamin C, kalsium dan mencegah bayi dari ekzema.
- Praktik Teknik Pernafasan: Ini bertujuan supaya ibu hamil tak banyak guna tenaga semasa proses kelahiran nanti. Juga ibu hamil perlu belajar cara untuk meneran ya, anda perlu tahu timing yang tepat untuk meneran, dan bagaimana cara yang betul.
- Mengurut Bahagian Perinium: Urutan perineum dengan minyak kelapa dara selama 10 minit. Kalau tak sampai, minta suami yang buatkan. Ini bertujuan supaya otot perinium menjadi lebih elastik. Jadi tidaklah koyak semasa bersalin nanti. Kalau koyak pun mungkin tidak teruk.
- Minum Madu Kelulut Asli: Pengambilan madu kelulut asli supaya sistem imunisasi si ibu kuat, tiada masalah kesihatan di saat-saat akhir menanti kelahiran. Ia juga dapat mencegah dari bayi terkena kuning yang tinggi.
- Makan Kurma: Eloknya setiap pagi, sebelum tidur, ambil mengikut nombor ganjil (sunnah). Ia mengenyangkan, tinggi serat, baik untuk proses penyusuan ibu, lahir saja bayi nanti, meriah susu badan anda!
Kesimpulannya, trimester ketiga kehamilan membawa banyak perubahan dan persediaan yang perlu dibuat, tetapi dengan penjagaan yang baik, anda boleh melalui fasa akhir kehamilan ini dengan yakin dan tenang.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Postpartum perineal care – Advice on perineum repair and re-education
Baca juga: Ini Apa Yang Terjadi Pada Faraj Lepas Bersalin, Setiap Suami Isteri Kena Tahu!
Baca juga: Buat Senaman Kemutan Faraj, Baring Mengiring Ke Kiri Kalau Nak Mudah Laluan Bersalin Terbuka