Memasuki bulan Ramadhan, mungkin ramai ibu hamil berniat untuk berpuasa. Kerana sebenarnya berpuasa diwajibkan untuk semua yang mampu termasuklah ibu hamil. Namun terdapat tanda tanda ibu hamil tidak boleh puasa demi mengutamakan kesihatan anda dan janin dalam kandungan.
Selain masalah kesihatan, ciri-ciri wanita hamil tidak boleh berpuasa biasanya dikaitkan dengan kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian. Atas sebab ini, anda perlu mengenali kesihatan tubuh badan dan dinasihatkan untuk berunding dengan doktor terlebih dahulu, sama ada boleh atau tidak berpuasa.
Tanda Tanda Ibu Hamil Tidak Boleh Puasa
Berpuasa ketika hamil
Ibu hamil boleh puasa atau tidak? Sebenarnya tiada jawapan khusus untuk soalan ini. Walaupun terdapat kajian mencadangkan bahawa berpuasa tidak menjejaskan berat lahir bayi, masih belum jelas bagaimana puasa boleh menjejaskan kesihatan anda atau bayi.
Namun bagi sesetengah kes, doktor mungkin menasihati ibu hamil tidak berpuasa bagi memastikan perjalanan kehamilan yang sihat.
Pada asasnya, hukum puasa adalah wajib, tetapi terdapat pengecualian untuk beberapa golongan termasuk orang tua, orang yang mempunyai masalah kesihatan tertentu dan wanita hamil.
Puasa boleh memburukkan keadaan kesihatan mereka. Begitu juga bagi wanita hamil, kedua-duanya dengan kehamilan yang sihat atau mempunyai sejarah komplikasi boleh membataskan kemampuan berpuasa jika tahap kesihatan mereka menurun.
Berikut tanda tanda ibu hamil tidak boleh puasa:
1. Dehidrasi
Dehidrasi adalah keadaan yang paling bahaya semasa berpuasa. Bertahan dahaga selama kira-kira 12 jam pada wanita hamil boleh menyebabkan beberapa komplikasi. Sebagai contoh, menjadikan isipadu air ketuban berkurangan, sekali gus mengganggu perkembangan bayi.
Ciri-ciri dehidrasi ketika hamil ialah peningkatan kadar denyutan jantung, perubahan warna air kencing menjadi kuning pekat hingga mulut kering. Sekiranya ibu hamil mengalami gejala dehidrasi, anda perlu segera buka puasa.
2. Hidung Berdarah
Sekiranya anda mengalami pendarahan hidung yang teruk selama 30 minit, ibu hamil tidak boleh meneruskan puasa. Lebih-lebih lagi jika pendarahan hidung disertai dengan munculnya gejala lain seperti kesukaran bernafas, sakit dada, pening dan kulit pucat.
Risiko hidung berdarah ketika hamil berpunca oleh kekurangan minum air semasa berpuasa. Selain itu, perubahan hormon semasa hamil boleh meningkatkan jumlah darah yang menyebabkan saluran darah di hidung mengembang dan mudah pecah.
3. Sakit Kepala
Tanda ibu hamil tidak boleh puasa seterusnya adalah mengalami sakit kepala teruk dan beterusan. Sakit kepala pada ibu semasa berpuasa boleh menjadi petunjuk hipertensi dan preeklampsia.
Sakit kepala ini timbul akibat tekanan darah tinggi yang mengganggu aliran darah ke otak. Selain sakit kepala, anda juga dinasihatkan untuk tidak berpuasa jika timbul gejala lain seperti muntah, loya, penglihatan kabur dan kaki bengkak.
4. Sakit Di Bahagian Perut
Dehidrasi bukan sahaja menyebabkan penurunan jumlah cecair amniotik, tetapi juga mengurangkan jumlah darah. Aliran darah yang terganggu semasa mengandung boleh mencetuskan sakit perut yang serupa dengan kontraksi.
Jika simptom sakit perut sudah mula dirasai, ia adalah tanda ibu hamil tidak boleh puasa. Jangan berkeras untuk terus berpuasa kerana kontraksi pada ibu hamil boleh menjadi salah satu tanda kelahiran pramatang.
5. Rasa Lemah Dan Tidak Bertenaga
Tanda tanda ibu hamil tidak boleh puasa seterusnya adalah rasa lemah dan tidak bertenaga. Anda memerlukan rehat yang mencukupi dan pemakanan tambahan.
Kelemahan yang berpanjangan ini juga boleh berlaku akibat penurunan paras gula dalam darah akibat kekurangan pengambilan makanan.
Dalam erti kata lain, pemakanan ibu hamil semasa berpuasa boleh membuatkan gula dalam darah tidak stabil. Dan, gula dalam darah tiba-tiba boleh melonjak secara drastik apabila ibu hamil berbuka atau subuh.
6. Bayi Kurang Bergerak
Perhatikan pergerakan bayi dalam kandungan terutama jika wanita hamil memasuki trimester kedua dan ketiga. Bayi yang kurang pergerakan di dalam perut boleh menjadi tanda masalah.
Sekiranya bilangan pergerakan atau tendangan janin berkurangan semasa berpuasa, ibu hamil perlulah buka puasa secepat mungkin.
Membatalkan puasa apabila pergerakan janin berkurang dapat membantu menjaga kesihatan bayi dalam kandungan. Selepas membatalkan puasa sama ada terdapat perubahan seperti janin mula bergerak perlahan atau tidak. Jika tidak, buat pemeriksaan dengan pakar sakit puan dengan segera.
7. Penurunan Berat Badan
Penurunan berat badan ibu hamil ketika puasa boleh menjadi petanda bahawa tubuh memerlukan lebih banyak pengambilan nutrisi. Memang tidak dinafikan puasa dapat mengurangkan pengambilan zat makanan dan minuman yang penting untuk kesihatan janin.
Tidak menambah berat badan pada wanita hamil juga boleh menyebabkan komplikasi yang serius. Antaranya mencetuskan kelahiran pramatang dan bayi berat lahir rendah. Jadi, puasa tidak sesuai untuk ibu mengandung dengan risiko ini.
Apa Akan Jadi Bila Ibu Hamil Berpuasa
Berpuasa dianggap tidak selamat jika anda menghidap diabetes atau menghidap diabetes semasa hamil (diabetes gestasi). Ini kerana puasa boleh menjejaskan tahap gula dalam darah.
Semasa ibu hamil berpuasa pada siang hari, paras gula dalam darah boleh jatuh dan anda boleh mengalami dehidrasi. Apabila berbuka puasa pada waktu malam, paras gula dalam darah boleh menjadi terlalu tinggi jika anda makan banyak.
Hukum Puasa Untuk Ibu Hamil
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap umat Islam yang mencukupi segala syarat-syarat untuk berpuasa iaitu:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Sihat dan mampu untuk berpuasa
- Bermuqim ( tidak bermusafir )
Apabila cukup segala syarat-syarat tersebut maka wajiblah bagi seseorang itu mengerjakan ibadah puasa.
Walau bagaimanapun bagi wanita yang hamil, adalah diharuskan baginya berbuka puasa dengan sebab-sebab yang tertentu:
1) Jika dia merasa takut berlaku mudarat ke atas dirinya sahaja atau takut ke atas dirinya dan anaknya, maka dalam hal ini wajib dia mengqadha puasa yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain seperti mana hal keadaan orang yang sakit.
2) Jika dia berasa takut akan berlaku mudharat ke atas anaknya sahaja, maka dalam hal ini boleh dia berbuka puasa tetapi wajib dia mengqadha puasa dan mengeluarkan fidyah sebanyak satu mud ( cupak ) bagi puasa yang ditinggalkan.
Kesimpulannya, wanita yang hamil juga diwajibkan berpuasa. Namun syarak memberi keringinan untuknya berbuka jika terdapat perkara-perkara yang disebutkan tadi.
Kajian Risiko Ibu Mengandung Puasa
Penyelidikan terkini mengenai puasa semasa mengandung menunjukkan sedikit atau tiada kesan pada bayi baru lahir yang ibunya berpuasa semasa mengandung.
Walau bagaimanapun, sesetengah wanita mungkin mengalami dehidrasi atau kekurangan tenaga, kerana berpuasa. Inilah yang telah diberitahu oleh penyelidikan kepada kami setakat ini:
- Puasa tidak menjadikan bayi anda lebih cenderung untuk dilahirkan lebih awal (pramatang).
- Puasa semasa hamil tidak bermakna bayi anda lebih berkemungkinan mempunyai berat lahir yang lebih rendah.
- Anda mungkin kurang tenaga jika berpuasa, kerana anda tidak mengambil makanan dan air sebanyak yang anda perlukan.
- Berpuasa semasa trimester kedua kehamilan boleh mengurangkan risiko anda mendapat diabetes semasa hamil dan menghalang anda daripada penambahan berat badan.
Wanita Mengandung Elakkan Berpuasa Ketika 3 Bulan Pertama
Ibu hamil dinasihatkan untuk tidak berpuasa pada trimester pertama kehamilan (tiga bulan pertama) kerana dalam tempoh ini organogenesis atau pembentukan organ janin yang penting berlaku dengan cepat.
Puasa ketika trimester pertama ini boleh menyebabkan kekurangan nutrisi dan cecair yang boleh menjejaskan perkembangan janin.
Selain itu, pada trimester pertama kehamilan, wanita sering mengalami loya dan muntah yang teruk, yang boleh memburukkan keadaan jika mereka berpuasa. Kesihatan ibu dan janin perlu diutamakan, maka dalam Islam, wanita hamil diberi rukhsah untuk tidak berpuasa pada trimester pertama jika perlu.
Walau bagaimanapun, ini adalah isu yang boleh berbeza-beza bergantung pada keadaan individu. Wanita hamil harus berunding dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang sesuai dengan keadaan kesihatan diri.
Risiko Ibu Mengandung Puasa
Jika mengalami beberapa tanda bahaya yang dinyatakan di atas dan anda ingin teruskan puasa, beberapa risiko ini boleh berlaku:
- Kekurangan Pemakanan: Wanita hamil memerlukan pengambilan nutrisi yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan dan perkembangan janin. Puasa boleh mengakibatkan kekurangan nutrien penting seperti vitamin, mineral dan kalori yang diperlukan untuk kesihatan ibu dan janin.
- Dehidrasi: Kehamilan boleh meningkatkan keperluan cecair badan. Puasa boleh menyebabkan dehidrasi, yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan wanita hamil dan janin.
- Pertumbuhan dan Perkembangan Janin Terhalang: Pengambilan makanan dan cecair yang terhad semasa berpuasa boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin. Ini boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang atau berat lahir rendah.
- Komplikasi Kesihatan Ibu: Puasa boleh meningkatkan risiko komplikasi kesihatan pada wanita hamil, seperti pengsan, peningkatan tekanan darah, atau ketidakseimbangan elektrolit.
- Hilang Kesedaran atau Pengsan: Puasa ketika hamil boleh meningkatkan risiko pengsan atau kehilangan kesedaran, yang boleh membahayakan ibu dan janin.
Kesimpulannya, adalah penting bagi wanita hamil untuk membincangkan keputusan untuk berpuasa dengan doktor terlebih dahulu berdasarkan tahap kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga: 11 Menu Makanan Sahur Untuk Ibu Hamil Yang Mudah Dan Kenyang Lama
Baca juga: Hb Rendah Saat Hamil (Anemia): Penyebab Hb Rendah, Cara Menjaga Hb & Rawatan
Baca juga: Kenali Apa Itu Pregorexia, Sindrom Takut Gemuk & Diet Berlebihan Ketika Hamil
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!