Memastikan anak memperoleh vitamin dan nutrien adalah penting untuk perkembangan sihat. Di Malaysia, ada pelbagai vitamin untuk kanak kanak dijual di pasaran yang memudahkan ibu ayah mendapatkannya.
Kanak kanak kecil yang memilih makan atau picky eater sering kali tidak memiliki tabiat pemakanan yang baik hingga membuatkam mereka tidak memperoleh nutrisi mencukupi. Bagi mengatasinya, ibu ayah memilih alternatif lain iaitu dengan memberikan vitamin kanak kanak atau suplemen.
Vitamin untuk kanak kanak yang terbaik
Pastinya sebelum memberikan anak makan vitamin untuk kanak kanak, ibu ayah mungkin perlu menyelidik terlebih dahulu jenis vitamin budak manakah yang terbaik.
Berikut kami kongsikan beberapa jenis vitamin untuk kanak kanak yang terbaik bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan mereka secara keseluruhannya:
-
Vitamin A
Vitamin A amat penting untuk menjaga penglihatan yang sihat, meningkatkan fungsi sistem imun, dan menyokong kesihatan kulit.
Di Malaysia, cuaca yang terik boleh mempengaruhi kesihatan mata si manja. Justeru adalah penting untuk memastikan pengambilan vitamin A yang mencukupi.
Kanak-kanak boleh mendapatkan vitamin A dari pelbagai sumber makanan seperti ubi manis, lobak, dan sayur-sayuran hijau.
Walau bagaimanapun, jika anak anda memilih makanan atau mempunyai masalah mengambil makanan ini, suplemen vitamin A boleh memberikan sokongan yang diperlukan.
Nota: Cari suplemen yang diformulasikan khas untuk kanak-kanak, ikuti dos yang disyorkan agar ia selamat dan sesuai untuk kanak-kanak.
-
Vitamin D
Vitamin D berfungsi untuk penyerapan kalsium, ia diperlukan untuk tulang yang kuat dan gigi yang sihat.
Walaupun di negara kita menikmati sinaran matahari mencukupi, sesetengah kanak-kanak mungkin tidak menerima pendedahan matahari disebabkan oleh faktor gaya hidup atau aktiviti luar yang terhad.
Untuk memastikan kanak-kanak anda mendapatkan vitamin D, pertimbangkan vitamin atau suplemen yang direka khas untuk kumpulan umur mereka.
Biasanya, suplemen ini terdapat dalam bentuk titisan, menjadikannya lebih mudah untuk diberikan kepada kanak-kanak kecil. Berbincang dengan pakar kesihatan untuk menentukan dos yang sesuai berdasarkan keperluan khusus anak anda.
-
Vitamin C kanak kanak
Vitamin C kanak kanak juga dikenali sebagai asid askorbik, memainkan peranan penting dalam menyokong sistem imun dan kesihatan secara keseluruhan.
Cuaca dan faktor alam sekitar boleh mempengaruhi kesihatan, vitamin C kanak kanak dapat mengatasi penyakit biasa dan jangkitan.
Sumber vitamin C kanak kanak boleh dijumpai dalam buah-buahan sitrus seperti oren, limau atau strawberi.
Walau bagaimanapun, jika anak anda adalah pemakan yang pemilih atau mempunyai akses terhad kepada buah-buahan segar, suplemen vitamin C untuk kanak kanak boleh memberikan sokongan pemakanan yang diperlukan.
-
Vitamin B kompleks
Vitamin B, termasuk B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B3 (niacin), B5 (asid pantotenik), B6 (piridoksin), B7 (biotin), B9 (folat), dan B12 (kobalamin), secara kolektif menyokong pengeluaran tenaga, fungsi otak, dan pembentukan sel darah merah.
Vitamin B kompleks ini bersifat larut dalam air, tubuh tidak menyimpannya untuk jangka masa lama. Sumber makanan yang mengandungi vitamin ini adalah bijirin penuh, daging tanpa lemak, dan sayur-sayuran hijau.
Walau bagaimanapun, jika diet kanak-kanak anda terhad atau mereka mempunyai sekatan diet tertentu, suplemen kompleks B boleh membantu mengisi jurang pemakanan.
-
Zat Besi
Zat besi adalah penting untuk pengeluaran hemoglobin, yang membawa oksigen dalam darah. Kanak kanak memerlukan pengambilan zat besi yang mencukupi untuk menyokong tubuh yang sedang berkembang.
Sumber zat besi semula jadi dalam makanan iaitu daging tanpa lemak, ikan, kacang, dan bijirin yang diperkaya.
Walau bagaimanapun, jika anak anda mempunyai selera yang terhad atau kesukaran mengambil makanan ini, berbincang dengan pakar kesihatan untuk menentukan sama ada suplemen zat besi diperlukan.
Suplemen zat besi hanya harus diberikan di bawah panduan profesional, kerana pengambilan berlebihan zat besi boleh membahayakan.
-
Asid Lemak Omega-3
Asid lemak omega-3, khususnya asid dokosaheksaenoik (DHA) dan asid eikosapentaenoik (EPA), adalah penting untuk perkembangan otak dan fungsi kognitif.
Biasanya makanan laut mengandungi omega-3. Namun jika anak tidak menyukainya atau mempunyai sekatan diet, suplemen omega-3 boleh memberikan manfaat.
Cari suplemen omega-3 yang diformulasikan khusus untuk kanak-kanak dan menyediakan dos yang sesuai dari DHA dan EPA.
Suplemen ini boleh membantu menyokong kesihatan otak dan fungsi kognitif, yang penting semasa proses perkembangan si manja.
- Kalsium
Kalsium adalah penting untuk tulang dan gigi yang kuat, menjadikannya nutrien penting untuk kanak-kanak yang sedang berkembang.
Di Malaysia, di mana produk tenusu seperti susu dan yogurt mudah didapati, pengambilan kalsium adalah agak mudah untuk dicapai.
Walau bagaimanapun, jika anak anda tidak tahan laktosa atau mempunyai diet terhad, suplemen kalsium boleh menjadi tambahan yang berharga.
Apabila memilih suplemen kalsium, pilihlah yang direka khas untuk kanak-kanak dan menyediakan dos harian yang disyorkan. Berbincanglah dengan pakar kesihatan untuk menentukan dos yang sesuai berdasarkan keperluan anak anda dan sekatan diet mereka.
- Probiotik
Probiotik adalah bakteria baik yang menyokong kesihatan pencernaan dan memperkuat sistem imun. Antara sumber makanan yang mengandungi probiotik adalah keju, tempe, yogurt atau susu mentega.
Jika anak tidak menyukainya, ibu ayah boleh pertimbangkan suplemen probiotik kanak-kanak anda yang diformulasikan khas untuk kumpulan umur mereka. Ia mengandungi pelbagai jenis strain yang bermanfaat, dapat menyeimbangkan mikrobiota usus dan menyokong kesihatan pencernaan.
Berapa mg vitamin c untuk kanak-kanak
Berapa mg vitamin C untuk kanak-kanak sebenarnya bergantung pada umur mereka. Berikut adalah garis panduan tentang dos vitamin C:
- Bayi sehingga 6 bulan: Dalam keadaan biasa, bayi ini biasanya mendapat vitamin C yang mencukupi melalui susu ibu atau susu formula bayi. Vitamin C tambahan tidak diperlukan jika bayi menerima nutrisi yang mencukupi daripada makanan ini. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang keperluan vitamin C anak anda, berbincang dengan pakar pediatrik.
- Kanak-kanak berumur 7 bulan hingga 1 tahun: Dalam keadaan biasa, kanak-kanak dalam kumpulan umur ini biasanya memerlukan lebih kurang 50 mg hingga 200 mg vitamin C sehari. Sekali lagi, ini mungkin berbeza bergantung pada diet mereka. Jika diet anak anda kekurangan makanan yang mengandungi vitamin C, pertimbangkan untuk memberinya suplemen vitamin C di bawah arahan doktor.
- Kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun: Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dalam kumpulan umur ini memerlukan kira-kira 15 mg hingga 400 mg vitamin C sehari. Dos yang lebih tinggi mungkin diperlukan jika anak anda menghadapi situasi tertentu, seperti penyakit atau kekurangan diet dalam vitamin C.
- Kanak-kanak berumur 4 hingga 8 tahun: Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dalam kumpulan umur ini memerlukan kira-kira 25 mg hingga 650 mg vitamin C sehari.
Kenapa perlu beri vitamin untuk kanak kanak?
Kanak-kanak berada pada peringkat penting dalam perkembangan mereka. Tubuh dan minda mereka sedang berkembang dengan pesat, dan keperluan pemakanan mereka tinggi.
Walaupun diet seimbang adalah sumber utama vitamin dan mineral penting, kanak-kanak mungkin tidak selalu mengambil pelbagai makanan yang diperlukan untuk memenuhi semua keperluan pemakanan mereka.
Berikut adalah sebab mengapa kanak-kanak memerlukan suplemen atau vitamin:
-
Tabiat Memilih Makan (Picky Eater): Adalah lumrah untuk kanak-kanak mempunyai tabiat memilih makanan, iaitu sering kali menolak makanan tertentu atau hanya ingin minum susu. Ini boleh menyebabkan jurang pemakanan dalam diet mereka.
-
Pilihan Makanan Terhad: Sesetengah kanak-kanak mempunyai sekatan diet disebabkan oleh alergi atau faktor budaya, yang membataskan pilihan makanan mereka.
-
Penyerapan Nutrien: Kanak-kanak mempunyai sistem pencernaan yang sedang berkembang, yang boleh mempengaruhi penyerapan nutrien. Dalam beberapa kes, mereka mungkin tidak menyerap semua vitamin dan mineral dari makanan yang diambil.
-
Faktor Alam Sekitar: Faktor-faktor alam sekitar, seperti pendedahan matahari yang terhad, boleh mempengaruhi pendedahan vitamin D dalam tubuh, menjadikan kanak kanak memerlukan sokongan suplemen.
-
Sokongan Kesihatan Imun: Vitamin untuk kanak kanak memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun, membantu mereka melawan penyakit biasa dan jangkitan.
Kesan kekurangan vitamin pada kanak kanak
Kekurangan vitamin kanak kanak boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan dan perkembangan mereka secara keseluruhan.
Berikut adalah beberapa kesan akibat kekurangan vitamin untuk kanak kanak:
-
Pertumbuhan lambat: Pengambilan vitamin yang tidak mencukupi, terutamanya vitamin D dan vitamin A, boleh menganggu proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.
-
Sistem imun yang lemah: Vitamin untuk kanak kanak seperti vitamin C dan vitamin D memainkan peranan penting dalam menyokong sistem imun. Kekurangan vitamin ini boleh membuat kanak-kanak cenderung risiko jangkitan, penyakit, dan pemulihan yang lewat.
-
Anemia: Zat besi dan vitamin B12 adalah penting untuk penghasilan sel darah merah. Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan anemia, yang boleh mengakibatkan keletihan, kelemahan, dan ketidakupayaan untuk fokus dalam kalangan kanak-kanak.
-
Ketertinggalan Pembangunan Kognitif: Sesetengah vitamin, seperti vitamin B kompleks dan asid lemak omega-3, memainkan peranan penting dalam pembangunan otak dan fungsi kognitif. Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan gangguan kognitif dan masalah pembelajaran.
-
Masalah kulit dan rambut: Kekurangan vitamin boleh anak mengalami masalah ruam kulit, kulit kering, dan rambut yang rapuh. Sebagai contoh, kekurangan vitamin C boleh menyebabkan penyakit skurvi, yang boleh menyebabkan masalah kulit dan pendarahan gusi.
-
Pemulihan luka yang lambat: Vitamin seperti vitamin C adalah penting untuk penghasilan kolagen, yang diperlukan untuk pemulihan luka. Kekurangan vitamin C boleh menyebabkan pemulihan luka yang lewat dan risiko jangkitan lebih tinggi.
Cara memilih vitamin kanak kanak
Memilih vitamin terbaik untuk si kecil anda memerlukan pertimbangan yang teliti untuk memastikan keperluan pemakanan mereka dipenuhi dengan selamat dan berkesan.
Berikut adalah beberapa langkah memilih vitamin untuk kanak-kanak yang terbaik:
-
Berkonsultasi dengan Pakar Kanak-Kanak: Sebelum memulakan sebarang pemakanan tambahan vitamin, berbincang dengan pakar kanak-kanak atau doktor. Mereka dapat menilai keperluan khusus si manja, memberikan cadangan sesuai berdasarkan umur, diet, status kesihatan, dan sebarang masalah perubatan anak yang ada.
-
Pilih Suplemen yang Sesuai Umur: Cari suplemen vitamin kanak kanak yang sesuai dengan umur. Ia direka khas untuk memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak dalam kumpulan umur dan mengelakkan pengambilan vitamin dalam jumlah berlebihan.
-
Semak kandungan: Baca dengan teliti senarai kandungan untuk memastikan suplemen tersebut mengandungi vitamin yang diperlukan si manja tanpa aditif yang tidak perlu, pewarna dan perasa tiruan.
-
Tekstur dan bentuk vitamin: Suplemen vitamin untuk kanak-kanak hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk tablet kunyah, gummy, cecair, dan serbuk. Pilih bentuk yang mudah diambil oleh anak dan yang lebih mudah mereka menerimanya. Sesetengah kanak-kanak mungkin lebih suka gummy atau cecair, manakala yang lain mungkin lebih suka tablet.
-
Cari Nutrien Penting: Pastikan suplemen tersebut mencakupi nutrien penting yang biasanya diperlukan oleh kanak-kanak kecil, seperti vitamin D, vitamin A, vitamin C, zat besi, kalsium, dan asid lemak omega-3. Doktor boleh membantu anda menentukan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh si manja.
Tips beri anak makan vitamin
Memberikan vitamin kepada kanak-kanak kecil kadang-kadang boleh menjadi cabaran, kerana sesetengah anak mungkin tidak mahu mencubanya.
Walau bagaimanapun, dengan beberapa strategi kreatif dan kesabaran, anda boleh menjadikan proses ini lebih lancar. Berikut adalah beberapa tips untuk beri vitamin kepada kanak-kanak kecil:
-
Jadikannya sebagai rutin: Masukkan vitamin ke dalam rutin harian. Contohnya, anda boleh memberikannya kepada anak pada masa yang sama setiap hari, seperti semasa sarapan atau sebelum waktu tidur.
-
Ibu ayah sebagai contoh: Kanak-kanak sering meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Tunjukkan kepada anak bahawa mengambil vitamin adalah amalan yang normal dan sihat dengan makan vitamin bersama-sama mereka.
-
Campur dalam makanan atau minuman: Beberapa suplemen vitamin boleh dicampur dengan sedikit makanan atau minuman untuk mengelakkan rasa. Anda boleh mencuba mencampurkan suplemen dengan yogurt, sos epal, jus buah, atau smoothie. Pastikan berbincang dengan doktor untuk memastikan bahawa kaedah campuran ini adalah sesuai untuk suplemen tertentu.
-
Berikan Pilihan: Beri peluang kepada anak untuk memilih rasa atau bentuk vitamin. Memberi mereka kebebasan boleh membuat si manja lebih bersedia untuk mengambil vitamin.
-
Potong tablet kunyah kepada bahagian kecil: Jika anak menghadapi masalah mengunyah atau menelan tablet kunyah yang lebih besar, anda boleh mencuba memotongnya kepada bahagian yang lebih kecil.
Tips keselamatan vitamin untuk kanak-kanak
Berikut adalah beberapa tips keselamatan yang perlu diambil kira apabila memberikan vitamin kepada kanak-kanak kecil:
- Ikuti dos yang ditetapkan: Patuhi dos yang disyorkan oleh doktor atau seperti yang dinyatakan pada label produk. Jangan melebihi dos yang disyorkan, kerana pengambilan beberapa vitamin budak yang berlebihan boleh berbahaya.
- Simpan jauh dari jangkauan: Simpan vitamin dan suplemen di luar jangkauan anak-anak dan dalam bekas yang selamat daripada akses kanak-kanak. Ini menghalang mereka menelan secara tidak sengaja.
- Bekas penutup yang selamat: Pastikan bekas suplemen mempunyai penutup selamat untuk mengelakkan akses tanpa kebenaran ibu ayah.
- Perhatikan tindak balas: Jika anak mempunyai alahan atau sensitiviti yang diketahui, semak semula label untuk sebarang kemungkinan alergen. Sesetengah suplemen mungkin mengandungi alergen biasa seperti kacang tanah, soya atau produk tenusu.
- Guna alat pengukur: Jika suplemen dalam bentuk cecair, gunakan alat pengukur yang disediakan atau picagari untuk memastikan dos yang betul. Jangan gunakan sudu dapur biasa, kerana ia boleh mengakibatkan ukuran yang tidak tepat.
Kesimpulannya, sebelum memperkenalkan sebarang suplemen vitamin kanak kanak, adalah penting untuk berbincang dengan pakar pediatrik atau profesional kesihatan.
Mereka boleh menilai keperluan pemakanan khusus anak anda, mengesyorkan suplemen yang sesuai dan memberi panduan tentang dos yang selamat.
Selain itu, pemeriksaan berkala, pemantauan kesihatan dan pertumbuhan anak anda adalah penting untuk mengesan kekurangan nutrisi mahupun masalah pemakanan dengan segera.
Semoga artikel ini bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Vitamin Untuk Bayi: Jenis Vitamin Bayi, Bila Boleh Beri Vitamin & Manfaat Untuk Si Manja
Baca juga: Kenali Fasa Terrible Two: Apa Itu Terrible Twos, Punca & 10 Cara Mengatasinya
Baca juga: Cara Hilangkan Selsema Bayi Tanpa Ubat & Berkesan, Ibu Ayah Jangan Panik Buat 13 Cara Ini!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!